Perkasa AI dalam pembangunan kurikulum, pengajaran TVET

23 Og 2026 - 8:21am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

GADONG, Sabtu, 22 Ogos. - SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH) berjaya menamatkan Program Latihan Serantau Hibrid mengenai AI Enhanced Curriculum and Lesson Planning in TVET yang berlangsung secara dalam talian dan bersemuka.

Majlis Penutupan program berkenaan diadakan di Dewan Seri Kerna, SEAMEO VOCTECH, hari ini dan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Dalam ucapannya, Dr. Haji Azman menekankan bahawa Kecerdasan Buatan (AI) seharusnya memperkukuh dan bukannya menggantikan peranan guru.

Beliau turut mengetengahkan GenAI Guidance for Education Negara Brunei Darussalam yang dilancarkan pada Februari 2026, yang berteraskan prinsip Maqasid Syariah di samping mengambil kira piawaian antarabangsa berkaitan penggunaan AI secara beretika dalam pendidikan.

Dr. Haji Azman seterusnya menggalakkan para peserta untuk kembali ke institusi masing-masing bukan sekadar sebagai pengguna AI, tetapi sebagai pemimpin yang berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menerajui transformasi pendidikan berasaskan AI.

Dalam ucapan penutupnya, Pengarah SEAMEO VOCTECH, Awang Haji Norjemee bin Jenek, menekankan bahawa pencapaian utama program berkenaan ialah pengintegrasian AI Generatif sebagai fasilitator digital.

Setiap kumpulan peserta berjaya menyiapkan Trial DACUM Chart serta draf dokumen kurikulum modular sepanjang program tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Kursus, Dr. Ir. Muhammad Ikhwan Jambak, yang juga Pakar TVET merangkap Pengurus Pengurusan Pengetahuan di SEAMEO VOCTECH, menjelaskan bahawa program berkenaan merangkumi teori kurikulum, DACUM, ADDIE dan ‘prompt engineering’.

Program turut disusuli dengan bengkel secara praktikal yang menyaksikan para peserta membangunkan draf kurikulum bagi bidang pekerjaan seperti Juruteknik Ladang Organik dan Pakar Diagnostik Kenderaan Elektrik (EV).

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua 20 peserta berjaya menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan dengan pencapaian cemerlang.

Program latihan tersebut dilaksanakan secara hibrid, dengan sesi dalam talian selama tiga hari, bermula 11 hingga 13 Ogos 2026, manakala sesi bersemuka berlangsung dari 17 hingga 22 Ogos 2026.

Seramai 20 peserta daripada kesemua 11 Negara Anggota SEAMEO menyertai program berkenaan.

Para peserta mengikuti pembelajaran bermula daripada asas AI dan AI Generatif serta ‘prompt engineering’, sebelum mengaplikasikan AI dalam pendekatan kurikulum dan perancangan pengajaran yang sedia ada.

Program turut merangkumi Forum Serantau bertajuk ‘Integrating AI into Competency-Based TVET: From AI-Enabled Curriculum Development to AI-Ready Graduates’.

Program berkenaan adalah selaras dengan UNESCO’s AI Competency Framework for Educators (2021), ASEAN’s Digital Masterplan 2025 serta mandat SEAMEO VOCTECH dalam memperkukuh kapasiti TVET di rantau ini.

Menjelang akhir program, para peserta berjaya menghasilkan modul kurikulum TVET diperkaya AI, rancangan pengajaran TVET diperkaya AI serta Pelan Tindakan Integrasi AI di peringkat institusi.