Perkukuh persediaan perniagaan tempatan rebut peluang kontrak

29 Okt 2026 - 6:55am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Rabu, 28 Oktober. – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Negara Brunei Darussalam (NBD) berpeluang mendapatkan maklumat awal mengenai projek-projek akan datang, peluang perolehan serta keperluan pembekal daripada pemain industri utama menerusi Enterprise Growth Connect (EGC) 2026.

Inisiatif berkenaan bertujuan untuk membantu perniagaan tempatan membuat persediaan yang lebih rapi bagi bersaing mendapatkan kontrak dan menyertai rantaian bekalan industri tempatan.

Dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), EGC merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas melalui In-Country Value (ICV) bagi meningkatkan penyertaan perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan industri utama dan pelaburan.

Inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pembekal tempatan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, memperkukuh kepakaran tempatan dan menyokong peluang pekerjaan di negara ini.

Meneruskan kejayaan penganjuran sulung pada 2025 yang menampilkan lebih 140 peluang perniagaan dengan penyertaan 25 rakan industri, EGC terus menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara perniagaan tempatan dengan pemain industri.

Penganjuran tahun lalu turut menyaksikan pemeteraian kontrak antara rakan industri dengan penyedia perkhidmatan tempatan, sekali gus memperlihatkan potensi peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pembekal tempatan yang berkeupayaan.

Tahun ini, EGC diperluaskan kepada program selama dua hari dengan penyertaan lebih 40 organisasi sebagai rakan kerjasama, lebih 1,000 pendaftar dan 20 sesi Opportunity Outlook.

Bertemakan 'Advancing Capabilities. Unlocking Opportunities', program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha membantu para peniaga memahami permintaan industri pada masa hadapan, meningkatkan daya saing serta membina kerjasama bagi meneroka peluang perniagaan yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Hari pertama program berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab merangkap Timbalan Pengerusi BEDB.

Dalam ucaptamanya, Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menegaskan bahawa ICV bukan sekadar bertujuan untuk meningkatkan bilangan pembekal tempatan, tetapi juga membangunkan syarikat Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berdaya saing, berupaya memenuhi piawaian industri dan melaksanakan kerja-kerja yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

"Seiring dengan perkembangan industri-industri ini, kita perlu memastikan perusahaan NBD bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kepelbagaian ekonomi, tetapi turut menjadi peserta aktif dalam rantaian bekalan serta merebut peluang yang diwujudkannya," ujar Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri lagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong Nyuk Ming pula menjelaskan bahawa mengetahui kewujudan sesuatu peluang hanyalah langkah permulaan.

Katanya lagi, para peniaga juga perlu mempunyai keupayaan untuk bersaing dan melaksanakan kerja dengan berkesan bagi membolehkan lebih banyak perniagaan tempatan merebut peluang yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Para peserta berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peluang perniagaan dalam sektor makanan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelancongan, maritim dan pembinaan, di samping mengikuti sesi padanan perniagaan, Klinik Khidmat Nasihat serta perbincangan mengenai kesediaan pembekal.

Program EGC akan diteruskan pada 29 Oktober 2026 di Pusat Insani, Seria, dengan tumpuan khusus kepada peluang dalam sektor huluan dan hiliran minyak dan gas.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Petroleum Brunei Darussalam (Petroleum Authority of Brunei Darussalam) sebagai Rakan Program.

Selain penganjuran EGC, BEDB akan bekerjasama dengan rakan industri untuk mengenal pasti jurang keupayaan pembekal, memudah cara hubungan perniagaan serta melaksanakan inisiatif pembangunan vendor yang bersasar.

Melalui platform DARe LINKS, perniagaan tempatan juga boleh mendapatkan akses kepada peluang perolehan yang tersedia dan berhubung dengan bakal pelanggan, sekali gus menyokong penyertaan tempatan yang lebih meluas dalam rantaian bekalan industri serta usaha mempelbagaikan ekonomi NBD.