Oleh : Aimi Sani
Foto : Azmah Haji Ahad
LUMUT, Ahad, 8 November. - Pelbagai aktiviti Pesta Pantai Lumut yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 November lalu telah memeriahkan Peranginan Pantai Lumut.
Penganjuran pesta berkenaan mencapai kemuncaknya pada hari ini dengan kehadiran Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku tetamu kehormat majlis.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan sesi senamrobik sebelum diteruskan dengan acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer. Acara berkenaan bermula dari Peranginan Pantai Lumut menuju ke Liang Lumut Recreational Club (LLRC), sebelum kembali semula ke kawasan pantai berkenaan.
Acara kemudiannya diserikan lagi dengan beberapa persembahan daripada Kumpulan Kawad Senyap, Batalion Ketiga, Tentera Darat Diraja Brunei. Seterusnya, tetamu kehormat majlis dibawa melawat ke kawasan perkhemahan serta gerai-gerai jualan yang disediakan sepanjang pesta berkenaan.
Pesta berkenaan adalah anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 2 dengan kerjasama MPK Lumut 1, Lumut 3, Sungai Liang, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lumut Kawasan 1, Kawasan 2 dan Kawasan 3.
Antara pengisian pesta berkenaan ialah aktiviti perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana berkecimpung dalam bidang perniagaan, aktiviti kebudayaan seperti persembahan Sarunai dan Tambur, kugiran serta aktiviti perkhemahan dan sebagainya.
Pesta Pantai Lumut 2026 merupakan kali ketiga ia diungkayahkan, dengan tujuan untuk mengeratkan silaturahim bersama Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung sekali gus beramah mesra bersama penduduk Mukim Liang.
Di samping itu, ia juga bertujuan bagi menjadikan Mukim Liang sebagai salah satu tarikan pelancongan khususnya pelancongan tempatan dan luar negara dan juga sebagai persiapan bagi Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027) dan Pesta Pantai Lumut 2027 akan dimasukkan dalam Jadual VBY 2027.