Program pakar padi hibrid sokong pengukuhan industri padi NBD

23 Og 2026 - 8:27am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Sabtu, 22 Ogos. - Program Nasihat Pakar mengenai Pembiakbakaan Padi Hibrid dan Pengeluaran Benih Padi di Negara Brunei Darussalam (NBD) atau 'Expert Advisory Program on Hybrid Rice Breeding and Seed Production' dirasmikan, pagi tadi, bertujuan untuk memperkukuh kapasiti dan kepakaran tempatan dalam bidang berkenaan.

Usaha tersebut dihasrat akan dapat memastikan kejayaan berterusan penggunaan teknologi padi hibrid di negara ini termasuk dalam mendukung penubuhan Pusat Penyelidikan Padi Hibrid di NBD.

Program itu merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara NBD dan Republik Rakyat China dalam bidang pertanian.

Perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, di Dewan Setia Pahlawan, kementerian berkenaan.

Turut hadir, bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun; Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan), KEPI, Awang Haji Mohd. Yusree bin Haji Junaidi; Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dr. Diana Dennis; pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai daripada jabatan-jabatan di bawah KEPI; serta para peserta program.

Program tersebut dilaksanakan di bawah bantuan teknikal dari Kerajaan Republik Rakyat China dan diungkayahkan bersama dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. 

Ia akan dilaksanakan selama satu tahun, bermula 18 Ogos 2026 hingga 17 Ogos 2027 di NBD.

Dua orang pakar kanan dalam bidang pembiakbakaan padi dan pengeluaran benih padi hibrid dari Longping High Tech Agriculture Co. Ltd. akan mengendalikan program berkenaan.

Program itu turut melibatkan pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta tenaga pengajar dan penyelidik daripada institusi-institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (Kampus Agroteknologi).

Melalui kerjasama berkenaan, inisiatif KEPI untuk meningkatkan produktiviti padi di NBD dihasratkan dapat diperkukuhkan khususnya di kawasan ladang berpengairan dan tadahan hujan melalui penggunaan varieti-varieti padi hibrid yang unggul dan berhasil tinggi bagi memastikan kedayatahanan industri padi di negara ini.