Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
BERAKAS, Jumaat, 16 Oktober. - Seramai tiga pelajar Tahun 9 dan seorang guru dari Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong pada petang tadi berlepas meninggalkan negara bagi menyertai High School Students Summit on World Tsunami Awareness Day 2026 yang akan diadakan pada 17 hingga 22 Oktober 2026 ini di Wilayah Iwate, Jepun.
Sehubungan itu, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Profesional), Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim.
Para pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) ialah Awang Muhammad Haziq Aiman bin Haji Mohd. Noorsahariman, Awang Muhammad Aqeef Fathullah bin Mohd. Fadhillah dan Dayang Husnaa Zafirah binti Mohamad Yusdy, serta diiringi oleh guru mereka, Pegawai Pendidikan, Dayang Hajah Norhidawati binti Haji Tompal, selaku ketua delegasi.
NBD merupakan salah sebuah daripada 13 buah negara di rantau Asia Pasifik yang dijemput untuk menyertai program berkenaan, bersama-sama delegasi dari Kemboja, Persekutuan Micronesia, Fiji, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Republik Filipina, Republik Korea, Republik Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, dan Republik Sosialis Viet Nam.
Selain itu, seramai 63 pelajar Jepun juga akan turut serta dalam sidang kemuncak berkenaan.
Program antarabangsa berkenaan bertujuan untuk mendalami sejarah berlakunya tsunami di Jepun serta memahami usaha pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction - DRR).
Program berkenaan juga berperanan bagi meningkatkan kesedaran global mengenai ancaman tsunami dan bencana lain, di samping memupuk kepimpinan belia khususnya dalam aspek kesiapsiagaan dan ketahanan komuniti.
Selain itu, program berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan serta perkongsian ilmu antara pelajar Jepun dan pelajar antarabangsa.
Program berkenaan turut menekankan nilai kerjasama global berlandaskan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, selaras dengan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan risiko bencana di seluruh dunia.
Sepanjang program berkenaan, para pelajar bersama guru pembimbing akan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti, termasuk bengkel Summit selama dua hari, sesi orientasi di Wilayah Iwate, sesi perbincangan bersama pihak berkepentingan, serta sesi perkongsian bersama pakar, pusat komuniti, dan institusi berkaitan DRR.
Pada masa yang sama, para pelajar turut berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar ke lokasi-lokasi yang berkaitan dengan usaha mitigasi bencana serta kawasan yang pernah terjejas akibat kejadian tsunami.
Turut hadir di LTAB, pegawai-pegawai dari JSS, Kementerian Pendidikan, serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.