Syarikat kena kompaun kerana melonggokkan barangan di tempat awam

30 Jul 2026 - 7:40am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Tutong

TUTONG, Rabu, 29 Julai. - Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong telah mengeluarkan kompaun terhadap sebuah syarikat selepas didapati melakukan kesalahan meletakkan dan melonggokkan kotak, plastik, karung serta jubin di tempat awam, sekali gus melanggar Bab 12(1)(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 2021.

Syarikat berkenaan, Hua Ho Department Store, didapati melakukan kesalahan tersebut di kawasan belakang Lot 13096, Kampung Petani, Pekan Tutong.

Berikutan kesalahan itu, syarikat berkenaan dikenakan tawaran kompaun sebanyak BND2,000 di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30) dan dikehendaki menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dikeluarkan.

Jabatan Daerah Tutong menjelaskan, sekiranya kompaun gagal dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, syarikat berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah. Jika sabit kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan ialah denda tidak kurang daripada BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000 bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000, atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, syarikat pemaju serta pemilik premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis perniagaan dan tempat awam, dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan sebarang jenis sampah atau bahan buangan di kawasan awam.