Terus timba pengalaman, kembangkan kemahiran profesional

25 Okt 2026 - 6:09am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. - Graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Kali Ke-12 rata-rata melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Bagi Awang Mohammad Waie Yadiy @ Mohammad Danish bin Haji Ibni, yang mengambil jurusan Diploma In Chemical Equipment Technology selama tiga tahun, berhasrat untuk menyambung pengajian pada masa akan datang.

Menurutnya, antara cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah mempelajari Bahasa Mandarin untuk mengikuti latihan di Hengyi, di samping menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan bertemu dengan rakan-rakan baharu.

Sementara itu, Dayang Siti Hazirah Syazwana binti Salleh, graduan Diploma Pengajian Perniagaan dengan pengkhususan dalam Pengurusan Sumber Manusia, berkata, sepanjang pengajiannya di PB, beliau bukan sahaja didedahkan kepada ilmu berkaitan pengurusan organisasi dan sumber manusia, malah turut mempelajari kepentingan komunikasi, kerjasama berpasukan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

“Bagi saya, ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik, tetapi juga sebagai asas untuk membentuk diri menjadi individu yang lebih berkemahiran, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan,” ujarnya lagi.

Bahkan, sepanjang pengajiannya di PB, ibu bapa dan keluarga, kawan-kawan serta para pensyarah adalah individu yang banyak memberikan beliau dorongan dan sokongan.

Dayang Siti Hazirah Syazwana yang kini bekerja secara sambilan sebagai ‘barista’ di Pelita Coffee, menambah bahawa pengalaman bekerja sambil belajar memberikan beliau banyak pengajaran yang tidak terhad kepada bidang akademik tetapi tentang mengurus masa dengan lebih baik, memikul tanggungjawab, berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang dinamik.

Oleh itu, beliau berazam untuk terus menimba pengalaman dan mengembangkan kemahiran profesional sebelum mempertimbangkan peluang untuk menyambung pengajian pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Awang Rafeequl Hayat bin Dr. Abdul Nasir yang mengambil pengajian Diploma Tahap 5 dalam bidang Kejuruteraan Kimia selama tiga tahun pula berhasrat menumpukan peluang untuk membina kerjaya serta menimba pengalaman dalam alam pekerjaan.

Menurutnya, salah satu cabaran yang dihadapi adalah keperluan untuk menguasai pelbagai kemahiran dalam tempoh masa yang terhad. Hal ini memerlukan beliau untuk mengurus masa dengan baik, menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran yang berbeza dan sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri.

Bagi Dk. Siti Ameenah, graduan dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, beliau merancang untuk mencari pekerjaan dan memberikan tumpuan kepada usaha membangun perniagaan sendiri.

“Alhamdulilah, selepas segala kesusahan yang saya tempuhi, saya bersyukur kerana telah bertahan sehingga ke penghujungnya dan berjaya menamatkan pengajian hari ini. Modul yang saya gemari ialah Accounting dan Business in Law,” katanya.

Manakala Mavin Anak Pilit yang mengikuti HND dalam Keusahawanan dan Strategi Pemasaran, selama dua tahun setengah berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Brunei Darussalam pada tahun hadapan.

“Saya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini dalam bidang akademik, Di samping dorongan yang diberikan oleh keluarga dan Politeknik Brunei telah memberikan saya semangat untuk menetapkan sasaran yang lebih tinggi,” jelasnya.

Menurutnya, antara modul yang diminatinya ialah Teknologi Maklumat (IT) atau komputer kerana ilmu berkenaan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi dalam era masa kini yang semakin bergantung pada teknologi moden.