Tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara manuskrip

12 Og 2026 - 5:43am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kajian Manuskrip Islam telah menganjurkan Bengkel Pemeliharaan, Pemuliharaan, Pendigitalan dan Pengkatalogan Manuskrip bertempat di Bilik Kuliah, Tingkat 1, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bengkel sehari tersebut diadakan bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 dan bertujuan untuk memberikan pendedahan serta pengetahuan praktikal mengenai kaedah penjagaan, pemulihan, pendigitalan dan pendokumentasian manuskrip secara sistematik.

Program ini juga menjadi wadah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara manuskrip sebagai khazanah ilmu dan warisan intelektual Islam agar terus terpelihara serta dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Bengkel Pemeliharaan dikendalikan oleh Pegawai Sejarah, penBORNEO, Awang Muhammad Hefni bin Mahari dan Pegawai Pemeliharaan, Awang Muhammad Ataillah bin Haji Julaihi.

Bengkel Pemuliharaan pula dibimbing oleh Kurator Pemeliharaan dan Pembaikan, Dayangku Amal Haziqah binti Pengiran Haji Abdul Mobeen; Pegawai Pemeliharaan, Dayang Khairunniza binti Sunny dan Pembantu Pemeliharaan / Makmal, Dayang Nurfatin Husna binti Laji.

Sementara itu, Bengkel Pendigitalan dikendalikan oleh Pegawai Arkib, Awangku Mohammad Faiz Fakhri bin Pengiran Zainal Abidin.

Bengkel Pengkatalogan pula dikendalikan oleh para mahasiswa dan mahasiswi Pusat Kajian Manuskrip Islam iaitu Dayangku Siti Nur Hazimah binti Pengiran Rosli, Dayang Nur Zuhairah binti Suhaili, Dayang Amirah Syakirah binti Haji Zakaria, Dayang Nurul Hayati binti Awang Sulaiman, Dayang Nurin Khadijah @ Aina binti Haji Johari dan Awang Auza’ie Rusydi bin Suhaili.

Melalui pengisian teori dan latihan amali, para peserta didedahkan kepada teknik pengendalian manuskrip yang betul, kaedah mengenal pasti kerosakan, proses pemuliharaan asas, penggunaan teknologi dalam pendigitalan serta penyediaan maklumat katalog bagi memudahkan proses penyimpanan, pencarian dan penyelidikan manuskrip.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen UNISSA dalam memperkasa kajian manuskrip Islam serta menggabungkan kaedah tradisional dan teknologi moden dalam usaha meneroka, memelihara dan menyebarluaskan khazanah ilmu sebagai pencetus pembentukan generasi Khayra Ummah.