Usaha memperkukuh pertukaran kebudayaan melalui bahasa universal muzik

23 Og 2026 - 8:05am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Azmah Haji Ahad

JERUDONG, Sabtu, 22 Ogos. - Bermula dari 22 hingga 24 Ogos, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengalu-alukan kehadiran pemain piano dan komposer, Endo Seiji serta pemain alat muzik bertali tiga (Tsugaru shamisen) dari Jepun, Asano Sho ke NBD bagi menyertai siri acara pertukaran muzik dan kebudayaan.

Sehubungan itu, persembahan 'Piano & Shamisen Performance – Echoes Across Borders : Japan's Classic & Contemporary Music' telah diadakan di Pusat Kesenian Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS Arts Centre) dengan kerjasama Brunei Music Society, Brunei Japanese Alumni Association dan Kanadebito.

Acara berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid selaku tetamu kehormat majlis.

Juga hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka.

Asano Sho telah mempersembahkan lagu-lagu rakyat Jepun yang menyentuh jiwa seperti Tsugaru Jongara Bushi, dengan teknik permainan shamisen yang sangat mengagumkan. Sementara itu Endo Seiji pula mempersembahkan karya-karya piano yang penuh ekspresi dan mendalam hasil ciptaannya sendiri, yang mendapat inspirasi daripada The Tale of Genji, salah satu novel terawal dalam sejarah dunia yang ditulis oleh seorang wanita istana Jepun, Murasaki Shikibu pada awal abad ke-11.

Lebih 700 orang telah dijemput untuk menghadiri acara berkenaan secara percuma, termasuk para belia tempatan. Acara berkenaan menjadi satu peluang yang amat berharga untuk memperkenalkan muzik dan kebudayaan Jepun kepada masyarakat NBD secara lebih meluas.

Satu bengkel muzik untuk belia akan dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Kedutaan Jepun di NBD dengan kerjasama Brunei Music Society, khusus untuk para pelajar yang sedang mengikuti pengajian muzik di NBD.

Sementara itu pada 24 Ogos pula, satu bengkel dan persembahan muzik akan diadakan dengan kerjasama KKBS, yang menampilkan kumpulan muzik tradisional NBD, Senandung Budaya dari KKBS, bersama kedua-dua pemuzik dari Jepun berkenaan.

Acara berkenaan memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali alat muzik shamisen, di samping memperdalam pemahaman mereka mengenai alat-alat muzik tradisional NBD.

Melalui persembahan bersama yang mengetengahkan muzik rakyat daripada kedua-dua buah negara, acara berkenaan telah menyumbang kepada usaha memperkukuh lagi pertukaran kebudayaan antara Jepun dan NBD melalui bahasa universal muzik.