Berita dan Foto : Ihsan Hajah Jauyah Dato Kerna Haji Jaya, Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Peralihan penonton dan pendengar kepada platform digital seperti media sosial dan ‘online streaming’ perlu diberi perhatian sebagai faktor penambahbaikan kualiti berita Radio Televisyen Brunei (RTB).
Perkara berkenaan antara yang digariskan oleh Dato Paduka Awang Haji Alidin bin Haji Othman, mantan Pengarah RTB pada Majlis Silaturahim Para Penyiar dan Mantan Penyiar/Pembaca Berita, sempena enam dekad siaran berita RTB yang berlangsung baru-baru ini di salah sebuah hotel di Jerudong.
Jelasnya lagi, perkhidmatan berita amat penting dalam mana-mana perkhidmatan penyiaran, menjadikan Bahagian Berita sebagai bahagian yang signifikan dan sensitif sebagai penyalur maklumat dan penerangan di dalam mahupun luar negara yang terkini, tepat dan betul.
Ilham mengadakan Majlis silaturahim berkenaan adalah cetusan idea dari Dato Paduka Awang Haji Alidin sendiri yang merupakan orang Brunei pertama dilantik sebagai Chief News Editor (CNE) pada 1 Mac 1979 selain merupakan mantan pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei.
Sementara itu Awang Haji Abdul Shamad bin Haji Ali, mantan Pemangku Ketua Berita dan Hal Ehwal Semasa RTB selaku Pengerusi Majlis, dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengimbas kembali tahun-tahun awal penerbitan berita.
Menurutnya lagi, meskipun perkhidmatan siaran televisyen Brunei dilancarkan secara rasmi pada 9 Julai 1975, namun siaran Berita Radio sudah didengar lebih awal, iaitu di sekitar awal 60-an selepas siaran radio dimulakan pada 2 Mei 1957.
Tambahnya lagi, khidmat penerbit dan juruhebah-juruhebah radio telah digunakan sebagai Pembaca Berita sambilan. Sehinggalah pada 1984 ketika negara mencapai kemerdekaan penuh lagi berdaulat, nama dan jawatan Pembaca Berita diubah menjadi Penyiar Berita sehinggalah ke hari ini. Dalam tempoh berkenaan, selain berita dalam bahasa Melayu dan Inggeris, terdapat juga berita radio dalam bahasa Mandarin, Iban dan Dusun.
Awang Haji Abdul Shamad seterusnya berkata, ramai dalam kalangan Penyiar Berita sambilan telah dilibatkan dalam penyampaian berita-berita radio dan televisyen seperti Berita Perdana, News At 10, Berita Antarabangsa, Berita ASEAN, Berita Sukan, Berita Ekonomi, tajuk-tajuk berita dan Ringkasan Berita. Ramai juga yang telah terlibat dalam beberapa program radio dan televisyen sama ada sebagai suara latar, penyampai dan juruulas.
Berita radio sampai sekarang tambahnya lagi, masih menggunakan ‘single reader’, berbanding dengan berita televisyen selain ‘dual presenters’, siaran berita televisyen juga pernah menggunakan sehingga empat penyiar dalam satu-satu siaran, dua penyiar berita utama, seorang penyiar sukan dan seorang lagi penyiar ramalan cuaca. Dan terkini siaran berita televisyen sudah menghadirkan penyiar yang menggunakan bahasa isyarat.
Mengakhiri ucapan, Awang Haji Abdul Shamad turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua-ketua Berita dan Hal Ehwal Semasa serta pegawai-pegawai kanan serta semua yang pernah terlibat bekerja keras menjadikan siaran berita radio dan televisyen begitu signifikan dalam pembangunan negara khususnya menjadi jentera penggerak dalam memastikan semua maklumat dan dasar kerajaan dapat disalur dan disebarkan untuk dimanfaatkan oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan, mantan Ketua-ketua Berita dan Hal Ehwal Semasa yang pernah berkhidmat di RTB.
Antara lain tujuan majlis berkenaan diadakan adalah untuk mengumpulkan para mantan Penyiar / Pembaca Berita dengan para Penyiar Berita yang masih berkhidmat ketika ini dalam suasana muhibah, selepas RTB berhasil menyiarkan siaran beritanya lebih enam dekad lalu.
Majlis Silaturahim seumpama berkenaan juga diharap menjadi titik permulaan wadah pertukaran pengalaman di antara orang lama penyiaran berita dengan generasi baharu atau ‘frontliners’ siaran berita dewasa ini.
Selain berita Melayu, Inggeris dan Mandarin, siaran Berita Radio juga pernah menyiarkan berita-berita berbahasa Dusun dan Iban yang disiarkan selepas Berita Melayu pukul 8.00 malam di Perkhidmatan Bahagian Melayu Radio Brunei.
Antara barisan mantan pembaca berita Dusun ialah Ismail Opak, Yubi Gadong dan Yubi Orang Kaya Lukan, manakala mantan pembaca berita Iban ialah Nelson Janting dan Maikal Gawan.