Bismillah itu permulaan kalam, Kisah tersurat kekasih alam, Menjadi suluh dicelah malam, Menguris hati yang kian kelam.
Menjadi suluh dicelah malam, Menyinar cahaya ke segenap alam,
Memadam sengketa dendam mendalam, Menuntut jiwa memeluk Islam.
Lahir insan ke alam dunia, Manusia istimewa sangat mulia, Rasul agung paling aulia,
Sebaik contoh ikutan manusia,
Belum pun lahir anakanda dinanti, Suami tercinta wafatnya pasti, Aminah tabah cekalkan hati, Menjaga kandungan penuh teliti.
Ketika hamil cahaya memancar, Tanda lahirnya insan terbesar, Segala duka menjadi pudar, Rahmat Ilahi semakin menjalar.
Lahir Nabi di bumi Anbiyaa, Yatim piatu di awal usia, Diasuh datuk berakhlak mulia,
Penyuluh alam penerang dunia.
Kelahiran Rasullullah penyuluh akidah, Membimbing umat berakhlak indah, Walau dugaan datang tak sudah, Berkat kesabaran semuanya mudah.
Zaman jahiliah tiada terarah, Manusia hanyut dalam amarah, Kelahiran Rasul suatu anugerah, Penyuluh dunia bersinar cerah.
Semenjak kecil tiada berayah, Lahir baginda di zaman jahiliah,
Penduduk belum menerima hidayah, Berbagai puak berbeza wilayah.
Nabi diputerakan di Kota Mekkah, Kelahiran baginda membawa berkah, Satukan umat yang selalu bertelingkah, Tamak rakus bersifat serakah.
Lahir Rasul penyuluh insani, Bawa kebenaran suci dan murni,
Menyatukan umat ke arah harmoni, Bersihkan jiwa hati rohani.
Di gua hira bermunajat lama,
Jibril menyampai pedoman beragama, BACALAH… seruan ayat pertama, Menyuluh menerangi umat bersama.
Dari Mekkah hijrah ke Madinah, Menghindari diri daripada difitnah, Ketibaan baginda membawa amanah, Menyebar dakwah berpandukan sunnah.
Meninggalkan Mekkah terasa hiba, Di bumi Madinah saujana tiba, Dakwah baginda sering dicuba,
Akhirnya kebenaran datang menyerba.
*Menyerba (daripada kata dasar serba) membawakan gambaran sesuatu yang hadir melengkapi segenap sudut.
Hijrah Nabi lambang perjuangan, Tabah hadapi pelbagai tentangan, Perjuangan Nabi ristaan kenangan, Menyemai iman di kalbu renungan.
Baginda laksana pelita menyala, Membimbing umat bertatasusila, Hindari maksiat yang bermaharajalela, Dari kesesatan yang penuh cela.
Ansar dan Muhajirin bersatu hati, Mengikat janji hidup semati,
Paksi daulah teguh terpatri, Cahaya Islam kian sebati.
Cahaya Islam kian sebati, Mekar harum di dalam hati,
Sunnah baginda sentiasa diikuti, Tanda cinta tiada mati.
Rasul bagaikan pelita budiman, Penerang jiwa di badai zaman, Membimbing umat menuju aman, Jauhi syirik kukuhkan iman.
Rasul menyuluh alam nyata, Memberi petunjuk untuk kita, Ajaran Islam terpateri terkota, Keimanan bersinar laksana permata.
Digelar Al-Amin sepanjang masa, Bersifat jujur mulia perkasa, Sentiasa santun mendidik bangsa, Akhlaknya indah terpuji sentiasa,
Rasullullah itu suluh akidah, Menyinar iman di jalan indah, Membimbing umat menepis gundah, Teguh bertauhid tiada berubah.
Ayuhai watan daulah laksana, Peganglah sunnah dengan sempurna, Teguh akidah mekar wacana,
Negara beroleh rahmat saujana.
Banyakkan berselawat untuk Baginda, Di hari Jumaat dilipat ganda,
Syaitan gerun takut menggoda, Ganjaran keberkatan tenangkan minda.
Akhir kalam susunan jemari, Terima kasih terukir memori, Mohon maaf kesilapan sendiri, Moga direstui pakar jauhari.
\
\Nadi©
Rabiulawal ke 12 Hijrah 1448
Ogos ke 24 Masihi 2026