25 tahun melahirkan kanak-kanak cemerlang

2 Sep 2026 - 12:19pm

KEJAYAAN sebuah sekolah dalam melahirkan pelajar cemerlang adalah dari pengajaran yang teratur, peranan dan komitmen para guru, penglibatan dan sokongan padu para ibu bapa dan anak didik yang mengamalkan disiplin yang tinggi. 

Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyediakan pelbagai inisiatif dan program menjana pengalaman pelbagai dan berbeza untuk semua. Tahun ini Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA  YSHHB) dan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) menyambut Jubli Perak penubuhannya. Sambutan Jubli Perak ini dilancarkan pada Sabtu 29 Ogos 2026. Ia juga dimeriahkan dengan Karnival Hari Keluarga Jubli Perak yang diadakan pada Ahad, 30 Ogos 2026.

 

TASKA YSHHB

 

TASKA YSHHB telah beroperasi sebagai institusi pendidikan di peringkat bimbingan bermula 4 Februari 1998.

Pada 26 Ogos 1998, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenan membuka rasmi TASKA YSHHB ini.

Terdahulu, Majlis Peletakan Batu Asas bagi bangunan TASKA YSHHB telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah pada 17 Mei 1997.

Bangunan TASKA ini terletak di Jalan Kebangsaan, Sungai Akar iaitu pada satu kawasan yang bersesuaian dengan situasi alam sekitar yang tenteram dan pemandangan yang menarik. Bangunan ini juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang bersesuaian  bagi memberi suasana pengajaran dan pembelajaran yang sempurna. Antara kemudahan yang terdapat di bangunan TASKA ini ialah seperti bilik darjah yang dilengkapi dengan stor dan tandas tersendiri, sebuah surau dan tempat berwuduk, sebuah kolam renang, bilik komputer, perpustakaan, bilik muzik, bilik rawatan dan taman permainan.

 

Kurikulum

 

Kurikulum yang dipraktikkan di TASKA YSHHB ini berdasarkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) di samping merujuk kepada teori-teori dan pengajian yang dibuat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Ianya adalah bertujuan bagi membentuk perkembangan kanak-kanak yang seimbang dari segi emosi, sosial dan intelek supaya mereka akan menjadi individu yang positif dan berkeyakinan terhadap kebolehan diri sendiri sebagai persiapan bagi menghadapi peperiksaan peringkat rendah.

 

Tenaga pengajar, keramaian kanak-kanak

 

Guru-guru TASKA YSHHB mempunyai pengalaman mengajar di peringkat pra dan rendah serta mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Pendaftaran bagi kemasukan kanak-kanak ke TASKA ini telah dibukakan pada pertengahan tahun 1997. Pendaftaran terdiri dari kanak-kanak yang berumur dua setengah tahun bagi Taman Bimbingan, tiga setengah tahun bagi Taman Asuhan Satu dan empat setengah tahun bagi Taman Asuhan Dua.

Jumlah pengambilan pertama bagi kanak-kanak TASKA YSHHB iaitu penggal pertama persekolahan tahun 1998 ialah seramai 38 orang, 21 orang bagi Taman Asuhan Satu dan 17 orang bagi Taman Asuhan Dua. Pada penggal kedua persekolahan, sebuah kelas Taman Bimbingan telah dibuka dengan pengambilan seramai 12 orang kanak-kanak. Sehingga akhir tahun 1998 seramai 62 orang kanak-kanak belajar di TASKA ini.

Saban tahun TASKA YSHHB telah menerima kenaikan dari segi kemasukan murid-murid membuatkan pihak TASKA YSHHB membuka sesi petang pembelajaran bagi menampung kemasukan. Alhamdulillah TASKA YSHHB telah mendapat perhatian baik dari masyarakat dalam peranan memberikan pendidikan asas.

Antara subjek yang diajarkan di TASKA YSHHB ialah  English Literacy, Malay Literacy, Numeracy, Ugama, Mandarin, Music, Computer dan Swimming.

Di penghujung pengajian TASKA, setentunya murid-murid telah diberi asas kukuh dan pengalaman awal berkaitan dunia prasekolah kepada kanak-kanak sebelum memasuki Tahun 1. Pengalaman melibatkan kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif yang diterapkan sangat penting sebagai persediaan untuk memasuki alam pendidikan formal dan pendidikan sepanjang hayat.

 

Penubuhan SR YSHHB

 

Penubuhan SR YSHHB merupakan kesinambungan daripada penubuhan TASKA YSHHB iaitu sebagai usaha bagi melengkapkan perkhidmatan pendidikan di peringkat rendah yang ditawarkan oleh YSHHB.

Projek pembinaan bangunan SR YSHHB bermula pada 14 Julai 1998. SR YSHHB mula beroperasi dan menerima kemasukan murid-murid sekolah pada penggal pertama persekolahan awal Januari 2000. Bangunan sekolah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memastikan persekitaran sekolah yang kondusif untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang terbaik. Bangunan sekolah rendah ini mempunyai dua blok utama yang mengandungi bilik pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik komputer, makmal sains, perpustakaan dan 19 buah bilik darjah serta dua blok kecil iaitu dewan serba guna dan blok kantin.

Kurikulum yang diajar di sekolah ini adalah selaras dengan kurikulum kebangsaan mengikut garis pandu Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan ditambah nilai lagi dengan menyesuaikan kesinambungan kurikulum yang diajar dari TASKA. 

Pada peringkat awal penubuhannya, pendaftaran hanya dibukakan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 4 sahaja. Pada tahun 2002 merupakan pertama kalinya murid-murid Tahun 6 SR YSHHB menduduki peperiksaan awam, iaitu Penilaian Sekolah Rendah (PSR). Murid-murid telah mengharumkan nama SR YSHHB apabila mereka berjaya lulus dengan kadar 100 peratus. Keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini terus dicatat oleh sekolah ini sehingga sekarang. Malah pada tiga tahun kebelakangan, lebih 20 peratus calon PSR telah mendapat keputusan 5’A’ dalam PSR. Terkini, empat calon PSR 2025 telah menerima anugerah pelajar cemerlang dan seorang penerima Anugerah Khas PSR pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada 18 Jun 2026 yang diselenggarakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE). Anugerah pelajar cemerlang merupakan salah satu inisiatif tahunan Kementerian Pendidikan yang  bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik khususnya di dalam peperiksaan awam dan sebagai dorongan serta galakan kepada para pelajar supaya lebih bersemangat untuk meraih kecemerlangan pada masa hadapan.

Antara subjek yang diajarkan di SR YSHHB ialah Mental Computation Test, Science, Bahasa Melayu, Mathematics, English Language, Ugama, Melayu Islam Beraja, Social Studies, ART, Arabic / Mandarin (Tahun 1 hingga 4 sahaja).

Khusus untuk murid-murid SR YSHHB sahaja, sekolah ini juga ada sesi persekolahan agama di sebelah petang yang mana tenaga pengajarnya adalah terdiri daripada guru-guru agama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Adanya sesi persekolahan agama seperti ini setentunya menjadikan sekolah ini pilihan ibu bapa. 

Pembelajaran murid-murid bukan sahaja tertumpu kepada bidang akademik dalam bilik darjah, malah aktiviti-aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah juga turut dititikberatkan.

Ini terbukti dengan adanya penyertaan SR YSHHB dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Dengarlah Ceritaku Sekolah-sekolah Rendah Senegara dan mendapat Johan bagi Kategori Perempuan.

Selain itu sekolah ini juga sering membuat lawatan-lawatan bagi menimba ilmu pengetahuan di luar bilik darjah. Misalnya lawatan ke Kilugus Horse Stable pada 8 Julai 2026 bagi murid Tahun 1, Royal Regalia Museum pada 11 Jun 2026 bagi murid Tahun 5, Seria Energy Lab pada 11 Jun 2026 bagi murid Tahun 3 dan lain-lain.

Sekolah ini juga sering menerima lawatan dari sekolah luar negara antaranya daripada Sekolah SD Nizamia Andalusia, Jakarta, Indonesia yang bertujuan untuk memperkaya pengetahuan, mengeratkan persahabatan serta meraikan kepelbagaian budaya.

Kanak-kanak TASKA YSHHB dan SR YSHHB juga saban tahun mempersembahkan persembahan khas sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB dengan penuh keceriaan.

Persembahan ini bukan sahaja mencerminkan bakat dan kreativiti generasi muda, malah menjadi lambang kasih, hormat dan menjunjung setinggi-tinggi penghargaan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Semoga usaha dan pengalaman ini menjadi inspirasi serta kenangan manis buat mereka dalam membina masa depan yang gemilang.

 

Penutup

 

Seiring usianya 25 tahun, diharap sekolah-sekolah ini terus dapat membentuk pelajar menjadi pemimpin masa depan yang cemerlang dan mempunyai budi pekerti yang baik, iaitu sinonim dengan identiti dan budaya orang Brunei.

Dengan adanya asas kukuh dari TASKA, murid-murid di sekolah ini mencapai keputusan cemerlang terutama dalam PSR saban tahun.

Bangunan sekolah yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan terkini memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran sempurna. Statistik keramaian pelajar dari setahun ke setahun membuktikan perkembangan yang menggalakkan, sekali gus sebagai petanda keyakinan masyarakat bahawa YSHHB mampu menawarkan khidmat pendidikan yang berkualiti.