SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), setiap kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah amanah yang wajib diberi pendidikan yang adil dan saksama, tanpa mengira latar belakang dan keupayaan pembelajaran.
Perkembangan anak-anak pada masa ini sememangnya perlu diberi perhatian sejak awal lagi. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Maklumat di hujung jari boleh digunakan untuk mendapatkan pengalaman ibu bapa lain mengenai perubahan anak-anak. Tinggal saja lagi ibu bapa perlu merujuk kepada pakar jika ada apa-apa yang tidak kena dengan anak mereka.
Antara kondisi yang perlu diperhatikan ialah disleksia. Ibu bapa perlu memberi perhatian jika anak mereka didapati ada ciri tersebut dan rujuk kepada pakar. Lebih awal dikenal pasti, maka awal juga ibu bapa dapat membantu anak tersebut dengan cara yang khusus.
Disleksia atau dalam istilah tempatan sering disebut sebagai kesukaran pembelajaran spesifik, bukanlah satu penyakit mahupun kecacatan akal. Ia adalah perbezaan neurologi yang mempengaruhi keupayaan seseorang individu untuk membaca, menulis dan mengeja dengan lancar. Selaras dengan hasrat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan inklusif, kesedaran tentang disleksia perlu dipertingkatkan di semua peringkat masyarakat.
Apa itu disleksia?
Disleksia adalah keadaan di mana otak memproses maklumat bertulis secara berbeza. Di NBD, kes disleksia diletakkan di bawah kategori Keperluan Pendidikan Khas (Special Educational Needs) yang dipantau oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.
Individu disleksia di NBD sering mengalami :
- Kesukaran mengecam bunyi huruf (fonik) dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
- Bacaan perlahan dan sering tertinggal.
- Ejaan yang tidak konsisten dan tulisan yang sukar dibaca.
- Kesukaran mengurus masa dan mengingat arahan berturutan.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak disleksia mempunyai kekuatan dalam pemikiran kreatif, kemahiran visual-spatial, dan penyelesaian masalah yang tinggi jika dibimbing dengan kaedah yang betul.
Ciri-ciri umum disleksia
Disleksia boleh kelihatan berbeza pada setiap individu. Antara ciri-ciri umum adalah seperti berikut.
1. Kesukaran dengan kesedaran fonologi.
Sukar untuk mengenal pasti dan menggunakan bunyi dalam perkataan (seperti memecahkan perkataan kepada bunyi, menggabungkan bunyi atau mengenal pasti rima).
Ini boleh kelihatan seperti :
- Sukar untuk memecahkan perkataan kepada bunyi (contoh c-a-t).
- Masalah menggabungkan bunyi bersama (contoh /b/ /a/ /t/ - bat).
- Sukar mengenal pasti perkataan yang berirama.
- Keliru bunyi yang hampir serupa (contoh /b/ dan /d/).
2. Kesukaran dengan kelajuan pemprosesan verbal.
Mengambil masa yang lebih lama untuk menerima, memahami dan memberi tindak balas terhadap maklumat lisan.
Ini boleh kelihatan seperti :
- Memerlukan lebih banyak masa untuk memproses apa yang telah dikatakan.
- Mengambil masa yang lebih lama untuk menjawab soalan.
- Sukar untuk mengikuti perbualan yang laju atau perbincangan berkumpulan.
- Mungkin kelihatan seperti tidak mendengar, tetapi mereka hanya memerlukan lebih banyak masa.
3. Kesukaran dengan ingatan verbal.
Sukar untuk mengingati maklumat lisan dalam tempoh yang singkat.
Ini boleh kelihatan seperti :
- Lupa arahan yang baru sahaja diberikan.
- Sukar mengingati senarai (contoh hari dalam seminggu, turutan).
- Memerlukan arahan diulang atau diberikan dengan cara yang berbeza.
- Mungkin mengingati maklumat dengan lebih baik apabila ia dalam bentuk visual berbanding lisan.
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas telah memperkenalkan Program Intervensi Awal : Saringan literasi di peringkat Pra dan Tahun 1 untuk mengesan awal tanda-tanda disleksia. Selain itu ditempatkan juga Guru SENA (Special Educational Needs Assistance) di sekolah-sekolah kerajaan untuk membantu pelajar berkeperluan khas termasuk disleksia.
Tanda awal
Berikut adalah beberapa tanda awal yang boleh dikesan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
Peringkat 4 - 6 tahun : Lambat bercakap, sukar menyebut rima, keliru antara huruf b/d, p/q.
Peringkat 7 - 12 tahun : Tidak suka membaca, sering mengelak membuat kerja rumah, menulis, cepat penat ketika membaca, hilang keyakinan diri dan sering dibandingkan.
Peranan bersama
1. Ibu bapa dan penjaga :
Jangan melabel atau menghukum. Berikan doa, sokongan emosi dan dapatkan penilaian profesional segera. Pengesanan awal sebelum umur tujuh tahun adalah kunci kejayaan.
2. Guru-guru :
Laksanakan pendekatan pengajaran multisensori (Visual-Audio-Kinestetik) yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan.
3. Masyarakat :
Hentikan budaya memandang rendah. Negara memerlukan pendekatan inklusif. Ingatlah bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Oleh itu adalah menjadi tugas kita memupuk fitrah tersebut mengikut keupayaannya.
Penutup
Kesedaran disleksia di NBD adalah sebahagian daripada usaha kita untuk tidak meninggalkan sesiapa dalam arus pembangunan negara (No One Left Behind). Anak-anak disleksia bukanlah beban, mereka adalah permata yang memerlukan cara penggilapan yang berbeza.
Seseorang yang mengalami disleksia, sering berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti masalah keyakinan diri, masalah keseimbangan, koordinasi serta daya ingatan yang lemah atau mudah lupa. Dalam konteks disleksia perlu ditekankan, tidak lancar membaca dan mengeja bukan bererti menandakan kecerdasan yang rendah.
Disleksia bukan penghalang kejayaan, ia adalah cara pembelajaran yang berbeza yang memerlukan bimbingan yang berbeza. Dengan pendekatan yang betul mereka juga punya masa depan yang lebih cerah.
Marilah kita bersama-sama membina persekitaran pembelajaran yang lebih memahami, lebih penyayang dan lebih inklusif selaras dengan ajaran Islam dan nilai-nilai MIB.