Graduan KUPU SB : Mensyukuri kejayaan, jadikan ilmu sebagai bekalan

26 Okt 2026 - 10:06am

MAJLIS Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) Ke-16 yang berlangsung pada Khamis, 22 Oktober 2026 yang baru lalu setentunya menjadi satu lembaran sejarah bagi para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Berbekalkan ilmu yang diperoleh, merekalah yang menjadi harapan bangsa dan negara ke arah membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh pada ajaran Islam. Penulis Pelita Brunei membawa para pembaca untuk mengikuti perkongsian beberapa graduan dalam menzahirkan rasa syukur atas kejayaan mereka.

Alfun Mubaarak diucapkan kepada semua rakan seperjuangan yang telah berjaya menamatkan pengajian di KUPU SB.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada para pensyarah atas segala ilmu, didikan dan bimbingan yang telah dicurahkan. Tidak dilupakan juga kepada ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan kami menuntut ilmu. Semoga segala jasa dan pengorbanan ini mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wata’ala serta menjadi saham akhirat yang berpanjangan.

Buat rakan-rakan seperjuangan, jadikanlah kejayaan hari ini sebagai permulaan untuk melakar kejayaan yang lebih besar. Ingatlah, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi juga melalui keikhlasan, kesungguhan dan usaha yang berterusan.

Semoga ilmu yang diperoleh menjadi bekalan untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Alfun Mubaarak dan selamat maju jaya kepada semua!

Setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menamatkan pengajian. Setiap kejayaan terukir melalui doa, air mata, pengorbanan dan kesabaran. Setulus penghargaan buat penyelia tercinta, Dr. Hajah Norwati, atas segala bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang perjalanan ini. Buat suami tersayang, Mohd. Rozieani Haji Abd. Rahim, anak-anak dan seluruh keluarga, terima kasih kerana sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam setiap langkah. Istimewa buat arwah mama dan babah tercinta, terima kasih atas segala kasih sayang, doa dan pengorbanan yang sentiasa menjadi kekuatan di hati. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala merahmati arwah mama dan memberkati babah. Buat para pelajar, ingatlah bahawa setiap impian menuntut pengorbanan, setiap kejayaan memerlukan kesabaran dan setiap kesukaran pasti membawa pengajaran. Jangan biarkan kegagalan memadamkan impian, kerana perjalanan yang sukar sering membentuk jiwa yang kuat. Teruslah melangkah walau perlahan, kerana yang paling penting bukan seberapa cepat kita sampai tetapi kesungguhan untuk tidak berhenti. Semoga ilmu yang diraih menjadi cahaya kehidupan dan manfaat buat agama, bangsa dan negara.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya, tibalah kita di sebuah persimpangan yang dahulu mungkin hanya mampu dibayangkan. Hari graduasi ini bukan sekadar penamat kepada pengajian tetapi bukti bahawa diri ini pernah memilih untuk terus bertahan, walaupun ada hari-hari yang menguji keyakinan dan kekuatan. Setiap langkah yang membawa kita ke hari ini mempunyai cerita tersendiri dan setiap satunya layak dihargai.  

Buat ibu bapa, keluarga dan para pendidik, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada cerita ini. Ada kejayaan yang namanya tertera pada sijil tetapi di sebaliknya tersimpan jasa ramai insan yang tidak pernah meminta pengiktirafan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas segala pengorbanan dan kebaikan dengan rahmat yang tidak putus-putus.  

Kepada para pelajar yang menamatkan pengajian, jangan takut jika jalan selepas ini belum jelas di mata. Tidak semua jawapan perlu ditemukan hari ini dan tidak semua impian perlu dicapai serentak. Teruskan melangkah dengan ilmu, adab dan hati yang teguh. Semoga kita bukan hanya berjaya membina kehidupan untuk diri sendiri tetapi turut menjadi sebab hadirnya harapan, manfaat dan kebaikan dalam kehidupan orang lain.

  Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh graduan sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16. Semoga segala ilmu yang diperolehi menjadi bekalan untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.   Saya merakamkan setulus penghargaan kepada isteri dan anak saya atas doa serta sokongan yang tidak ternilai, para pensyarah dan seluruh warga universiti atas bimbingan dan ilmu yang dicurahkan. Tidak dilupakan juga buat Guru Besar Sekolah Ugama Mabohai serta seluruh guru-guru yang memberikan bantuan, sokongan dan timbang rasa sepanjang saya menjalani pengajian ini secara separuh masa. Semoga Allah membalas segala jasa dengan ganjaran yang berlipat ganda.   Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam terjemahan makna ayat Surah Al-Mujadalah, ayat 11 : ‘‘Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat’’.   Semoga para graduan terus cemerlang dan istiqamah menuntut ilmu. Ingatlah, kejayaan bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk melangkah lebih jauh dan menyumbang kepada masyarakat.

Alfu Mabrouk diucapkan kepada semua graduan KUPU SB yang telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi bekalan yang bermanfaat dalam menempuh perjalanan seterusnya serta menjadi pendidik yang berilmu, berakhlak, berintegriti dan berdedikasi sesuai dengan hasrat KUPU SB. Setulus-tulus penghargaan dan ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para pensyarah yang telah mencurahkan ilmu, bimbingan serta dorongan kepada kami sepanjang tempoh pengajian. Tanpa tunjuk ajar, kesabaran dan pengorbanan mereka, pastinya perjalanan kami untuk mencapai kejayaan ini tidak akan menjadi realiti. Harapan saya adalah agar ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian ini dapat diamalkan untuk diri sendiri serta dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk agama, bangsa dan negara. Kepada para pelajar yang bakal menamatkan pengajian, tempuhilah liku-liku proses pengajian dengan niat yang betul dan sentiasa bersangka baiklah kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan Ijazah serta Diploma kepada saya dan rakan-rakan graduan yang lain pada hari ini. Ucapan penghargaan pertama-tamanya buat ayahanda Pengiran Haji Abd. Momin, isteri, anak-anak serta rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan sepanjang tempoh pengajian saya di KUPU SB. Tidak dilupakan para pensyarah tempatan dan juga antarabangsa iaitu daripada Sudan dan Mesir yang banyak mencurahkan ilmu dan bimbingan kepada kami khususnya dalam bidang Bahasa Arab & Pengajarannya. Harapan saya kepada graduan-graduan semua agar ilmu yang dituntut di menara gading ini bukanlah sekadar untuk diketahui dan diamalkan bahkan paling penting perlu pula untuk disampaikan kepada generasi yang akan datang sebagai sebuah bentuk amanah daripada satu-satunya kolej universiti perguruan ugama yang bertapak di negara ini.