Memastikan kelestarian makanan tanggungjawab bersama

21 Okt 2026 - 9:17am

MAKANAN yang baik bukan sahaja mengenyangkan, tetapi menjadi asas kepada kehidupan yang lebih sihat dan masa depan yang lebih baik.

Mempunyai makanan dalam satu hari merupakan satu nikmat rezeki yang patut disyukuri. Ada yang terlantar sakit tidak boleh menyuap makanan atau makan seperti kebiasaan dan tidak kurang juga ada yang terpaksa berpantang makan atau 'memilih' makanan kerana penyakit tertentu seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan lain-lain.

Di sinilah timbul pepatah makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Jangan sampai nikmat bertukar menjadi mudarat kepada kita, biarlah nikmat itu menjadi manfaat kepada kita selama-lamanya.

Jika kita lihat secara global pula, ada juga golongan yang tidak dapat merasa nikmat makan disebabkan dibelenggu kebuluran tidak mendapat makanan. Sedarkah kita bahawa ratusan juta penduduk dunia hari ini masih menderitai kebuluran?

Hari Makanan Sedunia disambut setiap tahun pada 16 Oktober. Tarikh ini telah diisytiharkan pada tahun 1979 oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Ia juga bertepatan dengan penubuhan FAO pada tahun 1945, yang menambah konteks sejarah penting kepada peringatan ini. Ia adalah hari yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah makanan global, memerangi kelaparan dan kemiskinan, dan mempromosikan matlamat utama : Kempen Global 'Sifar Kelaparan'.

Sambutan ini menjadi wadah untuk kita merenung semula nikmat rezeki, amanah menjaga sumber makanan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian makanan negara.

Selaras dengan tema global tahun 2026, 'Innovate Today. Nourish Tomorrow' - sambutan pada tahun ini menekankan bahawa inovasi bukan hanya teknologi canggih, tetapi juga merangkumi ilmu tradisional, penyelidikan sains, dasar awam, keusahawanan dan tindakan komuniti.

 

Cabaran global

\

Salah satu isu yang menjadi cabaran global ialah perbezaan dalam akses kepada makanan. Walaupun pengeluaran makanan global mencukupi untuk memberi makan kepada seluruh penduduk dunia, pengagihan dan pembaziran yang lemah bermakna berjuta-juta orang mengalami kelaparan setiap hari.

Sebaliknya, obesiti dan penyakit berkaitan diet semakin meningkat, walaupun di negara membangun. Ini menggariskan kerumitan masalah makanan global, yang bukan sahaja bergantung pada kuantiti tetapi juga pada kualiti dan pengagihan makanan.

Hari Makanan Sedunia mengajak kita untuk bermuhasabah dan bertindak. Ia adalah peringatan tahunan bahawa tindakan seharian, tidak kira betapa kecilnya tindakan itu, boleh memberi kesan yang ketara kepada kehidupan berjuta-juta orang dan kesejahteraan planet ini. Bersama-sama kita boleh membina masa depan di mana tiada siapa yang kelaparan dan semua orang mempunyai akses kepada diet yang sihat dan mampan.

\

Cabaran, peluang dalam konteks NBD

 

Sebagai sebuah negara kecil yang diberkati keamanan dan kemakmuran di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, isu keselamatan makanan adalah keutamaan negara.

Walaupun kebanyakan keperluan makanan di negara ini adalah diimport dari luar negara, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengorak langkah proaktif meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import melalui industri pertanian, perikanan dan agrimakanan yang mampan.

Penggunaan teknologi fertigasi, hidroponik, akuakultur moden dan ladang vertikal yang sedang giat dilaksanakan di kawasan pertanian di Wasan, Batang Mitus dan Temburong. Ini selaras dengan konsep inovasi pertanian pintar untuk masa depan.

Selain itu Sijil Halalan Toyyiban yang mana Negara Brunei Darussalam (NBD)  dikenali sebagai peneraju global dalam pensijilan halal membezakan pendirian NBD kerana  makanan bukan sahaja perlu halal, tetapi juga bersih, selamat, berkhasiat dan mampan.

 

Peranan rakyat

 

Sebagai pengguna, kita hendaklah menghargai rezeki. Belilah mengikut keperluan, sokong produk tempatan seperti sayur-sayuran dari ladang tempatan, ayam keluaran tempatan dan ikan hasil tangkapan orang tempatan. Elakkan budaya 'membeli secara berlebihan'.

Bagi golongan belia dan usahawan pula, bersempena dengan Hari Makanan Sedunia ia adalah bagi menyeru anak muda untuk melihat pertanian bukan sebagai kerja biasa-biasa, tetapi sebagai industri berteknologi tinggi. Menjadi agripreneur moden merupakan satu jihad ekonomi.

 

Penutup

 

Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Inovasi yang kita lakukan hari ini sama ada menanam satu pasu sayur di halaman rumah, menyokong petani tempatan, atau tidak membazir makanan,  akan menentukan sama ada generasi akan datang masih dapat menikmati makanan yang berkhasiat dan mencukupi.

Sama-samalah kita mendukung hasrat negara untuk mencapai keselamatan makanan yang mampan, berteraskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dan demi merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Makanan adalah hak asasi, membazir adalah pengkhianatan terhadap nikmat. Berinovasi hari ini demi rezeki yang berkat untuk esok.

Sempena Hari Makanan Sedunia 2026, marilah kita bersama-sama membuat pilihan makanan yang lebih sihat, menghargai sumber makanan dan mengurangkan pembaziran makanan, agar hidup lebih bermakna.