Menghadapi jerebu serta kesannya

5 Sep 2026 - 11:14am

Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail

Foto : Jabatan Penerangan

Infografik : Mohmmad Ike Iqrami Haji Suhaimi

JEREBU merupakan fenomena alam sekitar yang membimbangkan dan kerap kali melanda negara kita. Ia merupakan satu masalah biasa di Asia Tenggara akibat pembakaran hutan yang tidak terkawal.  Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan pemandangan, malah membawa pelbagai risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Masyarakat terpaksa berdepan dengan langit yang suram serta udara yang tercemar, yang secara langsung menjejaskan kualiti dan aktiviti hidup seharian.

Kita semua tahu bahawa jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ia boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar dan boleh membahayakan keselamatan.

Pembakaran terbuka secara haram

Pembakaran hutan merupakan punca utama jerebu yang sering dialami di rantau Asia Tenggara. Aktiviti ini lazimnya berlaku di kawasan yang luas bagi tujuan pembukaan ladang kelapa sawit dan pertanian.  Pembakaran hutan ini menghasilkan asap tebal yang membawa partikel zarah halus (PM2.5 dan PM10) ke udara. Apabila angin bertiup ke arah negara-negara jiran, asap ini akan merentasi sempadan, lalu menyebabkan jerebu di kawasan yang jauh daripada lokasi asal pembakaran.

Pembakaran sampah dan sisa pertanian secara terbuka juga menyumbang kepada jerebu. Walaupun kesannya tidak sebesar pembakaran hutan, aktiviti pembakaran terbuka secara haram ini meningkatkan jumlah zarah dan gas berbahaya di udara.

Di sesetengah kawasan, terutamanya di kawasan luar bandar, pembakaran terbuka masih menjadi amalan biasa untuk melupuskan sisa ladang atau sampah. Tanpa disedari, ia sebenarnya menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara, terutamanya semasa musim panas dan kering.

Fenomena cuaca kering dan angin

Cuaca kering dan angin juga memainkan peranan dalam pembentukan jerebu. Pada musim panas dan kering, zarah debu lebih mudah terampai di udara dan menghasilkan jerebu. Selain itu, angin yang bertiup membawa partikel-partikel kecil dari satu kawasan ke kawasan lain, menyebabkan jerebu di kawasan yang jauh dari punca asal. Situasi ini menjadi lebih buruk lagi apabila angin bertiup membawa asap daripada kawasan pembakaran terbuka atau hutan yang jauh.

Kesan jerebu terhadap kesihatan

Kesan jerebu terhadap kesihatan manusia amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang. Antaranya ialah masalah sistem pernafasan. Zarah halus yang terdapat dalam jerebu boleh meresap ke dalam saluran pernafasan. Ini boleh menyebabkan berlakunya kerengsaan pada hidung, tekak dan paru-paru. Bagi mereka yang sudah mempunyai masalah pernafasan seperti asma atau bronkitis, jerebu boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka. Jerebu yang berterusan juga boleh menyebabkan jangkitan pernafasan seperti pneumonia dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.

Kesan pada sistem imun

Jerebu boleh melemahkan sistem imun manusia, menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada pelbagai penyakit. Zarah-zarah jerebu di udara boleh menyebabkan badan mengalami tekanan oksidatif yang akhirnya merosakkan sel-sel imun tubuh sekiranya dihidu secara berpanjangan. Akibatnya, sistem imun akan menjadi lemah, meningkatkan risiko jangkitan virus dan bakteria.

Kesan jerebu terhadap alam sekitar

Jerebu juga memberi impak buruk terhadap alam sekitar. Antara kesan-kesan tersebut termasuklah pencemaran air. Zarah-zarah halus dari jerebu boleh meresap ke dalam air sungai, tasik, dan laut. Ini boleh menyebabkan pencemaran air dan menjejaskan ekosistem akuatik.  Apabila zarah-zarah tersebut terlarut dalam air, ia akan membahayakan hidupan laut dan mempengaruhi bekalan air bersih untuk manusia.

Penanaman pokok adalah langkah jangka panjang untuk mengatasi isu jerebu. Pokok berfungsi sebagai penapis udara semula jadi yang boleh menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen. Program penanaman pokok perlu digiatkan untuk memastikan keseimbangan ekosistem terpelihara.

Kesedaran awam mengenai jerebu dan kesan buruknya perlu dipertingkatkan dengan pendidikan alam sekitar. Kempen dan program pendidikan perlu dijalankan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jerebu.

Kesan jerebu pada ekonomi

Jerebu juga memberi kesan yang teruk terhadap ekonomi negara. Antaranya ialah kerugian pada sektor pelancongan. Jerebu yang berpanjangan boleh menjejaskan sektor pelancongan di negara ini apatah lagi Tahun Melawat Brunei 2027 akan bermula pada tahun hadapan. Pelancong asing cenderung untuk memilih negara dengan udara yang bersih berbanding negara yang mempunyai isu jerebu yang serius. Penurunan kehadiran pelancong ini boleh menyebabkan kerugian kepada industri hotel, restoran, dan perkhidmatan pelancongan lain.

Kesan jerebu pada keselamatan

Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada dalam jerebu berupaya menyerap dan menyerakkan cahaya matahari. Hal ini amat menakutkan kerana risiko kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan kapal laut atau kenderaan di jalan raya menjadi semakin besar. Keadaan ini amat membahayakan keselamatan kerana kemalangan boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda, kecelakaan dan kehilangan nyawa.

Selain berusaha, memohonlah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala agar negara kita sentiasa dijauhkan dari musibah dengan berdoa ketika udara dicemari Jerebu.

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan angin ini, kebaikan yang ada padanya dan kebaikan apa yang diperintahkan dengannya. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya dan keburukan apa yang diperintahkan dengannya”. (Hadis Hasan Shahih Riwayat Imam at-Tirmidzi)

Kesimpulan

Awda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa seperti akhbar, televisyen dan radio untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat awda supaya dapat mengambil langkah-langkah pencegahan. Awda juga boleh mengikuti @jastre.bn di Instagram bagi mengetahui bacaan PSI harian dan perkembangan kualiti udara terkini. Platform seperti aplikasi mudah alih WhatsApp sentiasa dikongsi untuk memberi amaran kepada masyarakat apabila indeks PSI mencapai tahap yang membahayakan.

Selain itu pastikan awda mengikut nasihat keselamatan dan kesihatan agar awda dan keluarga akan terhindar daripada sebarang perkara yang tidak diingini