Mensyukuri kejayaan di menara gading

29 Og 2026 - 10:42am

KEJAYAAN itu tidak mungkin dapat digapai dengan sepenuhnya melainkan bersamanya diiringi dengan keberkatan doa insan-insan tersayang meliputi para ibu bapa, ahli keluarga dan juga golongan pendidik serta rakan-rakan seperjuangan yang tidak putus-putus menjadi tulang belakang sepanjang meniti alam pengajian.

Di sebalik sebuah perjuangan bertahun-tahun disirami dengan kesabaran pada jiwa dan raga dan ada kalanya berteman air mata, pastinya kepada Allah Subhanahu Wata’ala jugalah tempat kita berharap demi memohon segala yang diimpikan tercapai dengan lancar.  Inilah rata-rata antara luahan tulus yang disampaikan oleh para graduan yang berkesempatan ditemui Pelita Brunei semasa berlangsungnya Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Ke-14 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.|

|  “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya, saya berjaya mencapai impian untuk menamatkan pengajian PhD. Terima kasih kepada pihak UTB, khususnya penyelia saya atas segala bimbingan, serta ibu bapa dan keluarga yang sentiasa mendoakan dan menjadi kekuatan saya. Saya berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya, membuka lebih banyak peluang untuk terus berkembang serta menyumbang kepada masyarakat dan negara. Kepada mahasiswa dan mahasiswi UTB, jangan takut bermimpi besar. Akan ada masa awda penat, ragu dan gagal, tetapi jangan berhenti. Kejayaan bukan milik mereka yang tidak pernah jatuh, tetapi mereka yang memilih untuk bangkit. Teruskan melangkah, kerana suatu hari nanti awda akan berdiri di tempat yang pernah awda impikan dan menyedari bahawa segala usaha dan pengorbanan itu benar-benar berbaloi”.     “Ucapan alhamdulillah dan setinggi-tinggi tahniah, kepada semua graduan UTB 2026. Terlebih dahulu, penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada suami tercinta, Md. Musa, serta anak-anak, Md. Haziq dan Alyaa Ameera, atas sokongan dan dorongan mereka. Setinggi-tinggi penghargaan kepada penyelia saya, Dr. Nena Padilla-Valdez dan Dr. Lee Kok Yueh, atas bimbingan mereka. Terima kasih juga kepada rakan sekerja di Sekolah Komunikasi Gunaan UTB serta keseluruhan kakitangan UTB atas pertolongan dan sokongan sepanjang tempoh pengajian saya. Saya berharap agar ilmu yang diperoleh ini dapat dimanfaatkan untuk membawa kebaikan yang berterusan serta boleh mengukuhkan lagi mutu pengajaran di UTB dan Negara Brunei Darussalam amnya. Buat para pelajar yang masih meniti alam pengajian, teruskan usaha dengan penuh ketekunan dan kesabaran dalam menghadapi cabaran dalam pelajaran”.  

|   “Alhamdulillah, syukur ya Allah Subhanahu Wata’ala atas kejayaan ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Dr. Zin dan Dr. Rashid yang telah membimbing tesis saya dengan penuh dedikasi, serta kepada isteri tercinta yang tidak pernah putus memberi sokongan sepanjang perjalanan pengajian sarjana ini, dalam suka dan duka. InsyaaAllah, saya berhasrat untuk menyempurnakan lesen keahlian Arkitek Berdaftar di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) dalam tempoh akan datang. Pada masa yang sama juga berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD), bagi berkongsi ilmu dan menyumbang ke arah membina masa depan industri yang lebih baik. Kepada mahasiswa dan mahasiswi yang masih meniti alam pengajian mereka, jangan berhenti mencuba walaupun gagal, teruskan mencuba. Kesilapan adalah asas untuk membina diri yang lebih baik. Proses pengajian ini tiada yang mudah, tetapi itulah yang menjadikannya bermanfaat pada akhirnya. Pendidikan itu sebenarnya asas kukuh sebelum melangkah ke dunia industri profesional”.   “Alhamdulillah, sebagai pelajar separuh masa, saya amat bersyukur atas kesempatan dan rezeki untuk menamatkan pengajian ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga tersayang, para pensyarah, penyelia, rakan seperjuangan serta pihak tempat kerja atas doa dan sokongan sepanjang perjalanan ini. Tahun ini amat bermakna kerana selain menamatkan pengajian, saya juga dikurniakan kerakyatan Negara Brunei Darussalam. Saya berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk menyumbang ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Kepada mahasiswa dan mahasiswi, jangan pernah berhenti belajar sama ada meneruskan pengajian serta-merta atau setelah memperoleh pengalaman bekerja, setiap perjalanan mempunyai nilainya. UTB menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan program pengajian yang bersesuaian bagi individu yang sedang berkerjaya. Pengalaman saya membuktikan bahawa kerjaya, keluarga dan pendidikan boleh berjalan seiring. Percayalah, tidak pernah terlambat untuk mengejar impian. Setiap usaha hari ini adalah pelaburan untuk masa hadapan”.    “Segala puji dan syukur bagi Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua memberikan saya kekuatan dan kesabaran untuk memperolehi segulung ijazah sarjana muda pada tahun ini. Terima kasih saya tujukan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah mengurniakan biasiswa ini.  Ucapan terima kasih ini terutama buat ibu bapa saya, yang sentiasa mendorong, memberi nasihat dan sentiasa mendoakan kejayaan saya sepanjang perjuangan menimba ilmu di universiti ini, juga kepada pensyarah-pensyarah saya yang sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar semasa dalam pengajian serta tahniah kepada para graduan UTB pada tahun 2026 ini. Dengan nama Allah Yang Maha Agung, saya berharap dengan adanya ilmu dan kemahiran saya dalam bidang Keselamatan Maklumat ini akan dapat  menyumbang kepada negara di era teknologi yang semakin pesat ini. Kepada mahasiswa dan mahasiswi yang masih menjalani pengajian di UTB, saya nasihatkan supaya sentiasa tekun dalam pelajaran dan mengimbangi aktiviti kehidupan dan pengajian”.  “Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas kejayaan memperolehi keputusan Kelas Pertama dan menerima Anugerah Cemerlang. Kejayaan ini bukanlah hasil usaha saya seorang, tetapi turut didukung oleh doa dan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan para pensyarah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu di sepanjang perjalanan pengajian saya. Saya berharap segala ilmu, pengajaran dan pengalaman yang diperolehi semasa pengajian di UTB dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat, negara dan agama. Saya berazam untuk terus menimba ilmu baharu serta memperbaiki diri dalam setiap langkah yang akan datang. Kepada mahasiswa dan mahasiswi yang masih meniti alam pengajian, teruskanlah berusaha dan jangan mudah berputus asa apabila menghadapi cabaran. Percayalah bahawa setiap kesusahan merupakan proses untuk kita menjadi lebih kuat dan matang. Sentiasalah percaya kepada kemampuan diri dan terus berusaha mencapai impian”.