Pelajari Al-Quran melalui teknologi / Teknologi mendekatkan generasi dengan Al-Quran

9 Sep 2026 - 1:49pm

KEMAJUAN dan perkembangan pesat era teknologi ketika ini memberikan impak yang sangat signifikan dalam kehidupan seharian kita. Begitu juga dengan teknologi aplikasi mudah alih yang ketika ini nampaknya menjadi sebahagian dari kehidupan. Menyedari akan hal ini, salah sebuah syarikat teknologi Islam tempatan, Tazrah Digital Sendirian Berhad telah mengambil inisiatif membangunkan satu aplikasi pembelajaran Al-Quran dengan aspirasi untuk membantu individu setiap hari membaca Al-Quran dengan lebih yakin. Platform ini menggabungkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), silibus pembelajaran yang tersusun serta bimbingan asatizah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dalam satu aplikasi mudah alih. Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap ketepatan dan kesahihan kandungan, Tazrah telah melalui proses semakan dan penapisan oleh Pusat Da'wah Islamiah (PDI) sebelum dilancarkan kepada orang ramai.

 

Tazrah Mobile Apps

\

Mula dilancarkan secara komersial pada 1 Muharam 1448 Hijrah, Tazrah Mobile Apps atau Tazrah mengambil pendekatan hibrid yang menggabungkan teknologi digital dengan bimbingan manusia. Antara komponen utama yang telah dibangunkan ialah Silibus Pembelajaran Tersusun; Murajaah AI dan Hantar Bacaan, manakala Sistem Tempahan Asatizah sedang dalam proses dimajukan.

 

Silibus Pembelajaran Tersusun

\

Pengguna mengikuti pembelajaran secara berperingkat bermula daripada asas hijaiyyah, diikuti tahsin bagi memperbaiki kelancaran bacaan dan seterusnya tajwid bagi meningkatkan ketepatan bacaan. Keseluruhan struktur pembelajaran merangkumi 112 pelajaran, 112 latihan, 31 set praktikal, tiga peperiksaan peringkat dan satu peperiksaan akhir. Pendekatan ini membolehkan pengguna mengetahui perkembangan pembelajaran mereka secara berperingkat dan lebih tersusun.

 

Murajaah AI

\

Tazrah membangunkan teknologi AI sendiri yang dilatih khusus dengan mengambil kira sebutan dan loghat Melayu. Melalui Murajaah AI, pengguna boleh berlatih sebutan membaca ayat Al-Quran melalui aplikasi dan menerima maklum balas dalam tempoh kurang daripada tiga saat mengenai ketepatan bacaan pada peringkat huruf. Teknologi ini tidak menggantikan peranan guru atau asatizah dan tidak digunakan sebagai penentu keseluruhan hukum tajwid. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai alat latihan sendiri bagi membantu pengguna mengenal pasti kesilapan asas, berlatih secara konsisten dan membina keyakinan sebelum mendapatkan semakan daripada asatizah.

 

Hantar Bacaan

\

Tazrah turut membawa konsep halaqah tradisional ke dalam bentuk digital melalui fungsi Hantar Bacaan. Pengguna boleh merakam dan menghantar bacaan Al-Quran kepada asatizah bertauliah MUIB untuk semakan. Maklum balas diberikan dalam tempoh 24 jam pada hari bekerja.  Pendekatan ini memastikan hubungan antara pelajar dengan guru terus menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran walaupun latihan dilakukan secara digital.

 

Sistem Tempahan Asatizah

\

Sebagai sebahagian daripada fasa pembangunan seterusnya, Tazrah sedang membangunkan Sistem Tempahan Asatizah secara terus melalui aplikasi. Sistem ini akan membolehkan pengguna menempah sesi pembelajaran Al-Quran secara persendirian bersama asatizah, termasuk sesi bersemuka dan perkhidmatan pembelajaran di rumah. Selain memberi pilihan pembelajaran yang lebih fleksibel kepada masyarakat, inisiatif ini juga dirancang untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan tambahan kepada asatizah serta graduan pengajian Islam tempatan. Dalam jangka panjang, Tazrah berhasrat membina satu ekosistem pembelajaran yang menghubungkan teknologi, pengguna, asatizah dan institusi dalam satu platform.

 

Pengiktirafan BICTA 2026

\

Pada 27 Ogos 2026, Tazrah telah dinobatkan sebagai Juara Kategori Consumer & Business Services dalam Brunei ICT Awards (BICTA) 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian kebangsaan pertama Tazrah selepas sekitar dua bulan dilancarkan secara komersial. Bagi pasukan Tazrah, pencapaian ini menjadi dorongan untuk terus membangunkan teknologi Islam yang bertanggungjawab, memberi manfaat kepada masyarakat dan pada masa yang sama menunjukkan keupayaan anak tempatan Brunei dalam menghasilkan produk teknologi yang berpotensi berkembang ke peringkat antarabangsa.

 

Pencapaian antarabangsa

\

Walaupun Tazrah belum menjalankan kempen pemasaran berskala besar di luar Negara Brunei Darussalam (NBD), aplikasi ini telah digunakan oleh pengguna dari 29 buah negara. Selain NBD, penggunaan turut direkodkan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Mesir, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, India dan beberapa negara lain.  Perkembangan ini memberikan petunjuk awal bahawa pendekatan pembelajaran digital yang dibangunkan di negara ini mempunyai potensi untuk digunakan oleh komuniti Muslim yang lebih luas.

 

Penutup

 

Pendekatan Tazrah berteraskan prinsip bahawa teknologi berfungsi sebagai alat sokongan kepada pembelajaran dan bukan sebagai pengganti kepada guru atau asatizah. Teknologi digunakan untuk membantu pengguna berlatih dengan lebih konsisten, manakala bimbingan dan semakan manusia kekal sebagai komponen penting dalam proses pembelajaran. Dengan pencapaian yang telah diperoleh oleh Tazrah telah membuktikan bahawa teknologi Islam yang dibangunkan oleh anak tempatan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta mempunyai potensi untuk berkembang ke pasaran serantau dan antarabangsa. Apa yang diharapkan dengan adanya keseimbangan antara kecanggihan teknologi dan sentuhan manusia seperti usaha yang dilakukan oleh Tazrah ini akan dapat membuka lembaran baharu dalam pembelajaran Al-Quran. Marilah kita bersama-sama memanfaatkan inovasi ini untuk mendekatkan kita kepada kitab suci dengan membuat satu langkah satu bacaan dalam kehidupan harian kita.