HAKIKATNYA, untuk menggenggam syahadah (sijil) dalam bidang hafazan 30 juzuk Al-Quran dan ilmu qiraat bukanlah sesuatu yang mudah tanpa adanya ketekunan dan ketulusan yang sentiasa diterapkan dalam jiwa raga seorang huffaz. Saban tahun, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) terus berkembang maju sebagai sebuah institusi hafazan Al-Quran yang terunggul dan mampu melahirkan lebih ramai generasi huffaz yang profesional, progresif dan kompetitif sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa. Oleh itu, lakaran kejayaan sekali lagi dirai dengan penuh kesyukuran apabila pada tahun ini telah menyaksikan 38 orang graduan ITQSHHB menerima Sijil Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qira’at mereka bagi Sesi Pengajian 2023 - 2026 pada Haflut Takharruj (Majlis Konvokesyen) ITQSHHB Ke-14 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.
"Dari sudut hati saya yang begitu gembira, kejayaan yang dicapai ini bukanlah semata-mata tentang pencapaian akademik, tetapi sesungguhnya peluang untuk menuntut ilmu Al-Quran ini merupakan satu anugerah dan nikmat serta amanah daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang amat wajar disyukuri. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih khususnya kepada ibu bapa dan ahli keluarga, para pensyarah serta rakan-rakan yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan sokongan serta doa yang tidak putus-putus. Salah satu prinsip yang sentiasa saya pegang ialah sentiasa memperbaiki diri dan memperbetulkan niat dari hari ke hari agar ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan dapat dimanfaatkan kepada orang lain. Kepada rakan-rakan yang masih meniti alam pengajian di ITQSHHB, manfaatkanlah setiap peluang yang diberikan untuk menimba ilmu, sentiasalah menghormati para pensyarah dan jangan sesekali melupakan pengorbanan ibu bapa yang bertungkus-lumus bekerja demi masa depan kita. Jadikanlah pengorbanan mereka sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha kerana kejayaan yang kita kecapi hari ini tidak pernah terpisah daripada doa, pengorbanan dan sokongan insan-insan yang sentiasa berada di belakang kita".
| ''Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kejayaan ini. Bagi saya, kejayaan ini merupakan satu nikmat dan amanah daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang tidak mungkin dicapai tanpa doa, sokongan dan pengorbanan ibu bapa, keluarga, guru-guru, para pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan. Sepanjang pengajian, saya berpegang kepada prinsip istiqamah, sabar dan tidak mudah berputus asa, khususnya dalam menjaga hafazan serta melakukan muraja'ah (mengulang hafalan Al-Quran) secara konsisten. Saya berharap ilmu Al-Quran dan qiraat yang diperoleh terus diberkati, diamalkan dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Nasihat saya kepada para pelajar ITQSHHB, hargailah setiap peluang menuntut ilmu, sentiasa memperbaiki niat, hormati pensyarah, guru-guru, rakan-rakan dan teruskan berusaha walaupun menghadapi kesukaran. Percayalah, setiap ayat yang dihafaz dan usaha yang dicurahkan merupakan langkah menuju kejayaan dan keberkatan. Yakinlah bahawa setiap usaha dan kesabaran pasti mempunyai nilai di sisi Allah Subhanahu Wata'ala''.
| ''Bagi saya, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian akademik, bahkan satu amanah dan nikmat besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang terhasil daripada doa, pengorbanan serta sokongan ibu bapa, para guru, pensyarah dan sahabat-sahabat. Perjalanan menghafaz dan mempelajari Al-Quran mengajar saya erti istiqamah, sabar dan tidak mudah berputus asa kerana Al-Quran bukan sekadar untuk dihafaz, tetapi untuk dijaga, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Saya berharap agar ilmu yang diperoleh menjadi ilmu yang bermanfaat serta menjadi bekalan untuk berbakti kepada agama, masyarakat dan negara. Kepada rakan-rakan di ITQSHHB, jangan pernah merasa penat dalam menjaga Al-Quran kerana mungkin ayat yang kita ulang berkali-kali hari ini akan menjadi cahaya yang menerangi kehidupan kita pada masa hadapan''.
| ''Alhamdulillah, kejayaan ini membuatkan saya lebih banyak menoleh ke belakang daripada melihat ke hadapan. Semakin melihat apa yang telah dilalui, semakin saya sedar betapa kecilnya saya sebenarnya. Apa yang kelihatan besar hari ini bukan kerana saya hebat tetapi kerana terlalu banyak tangan yang membentuk, mendidik, membimbing, mendoakan dan berkorban sehingga saya sampai ke titik ini. Dalam perjalanan menghafaz Al-Quran di sini, saya belajar untuk tetap melakukan walaupun berat, mula dan cuba walaupun terpaksa. Kita tidak akan sentiasa bersemangat, tetapi kita sentiasa boleh memilih untuk tidak berhenti. Prinsip inilah yang ingin saya titipkan kepada yang masih meniti pengajian di ITQSHHB. Jangan berhenti hanya kerana penghujungnya belum kelihatan dan teruslah melangkah kerana setiap perjalanan ada tempat yang Allah Subhanahu Wata'ala sediakan untuk kita sampai. Kepada 38 rakan seperjuangan saya, kita mungkin sampai di penghujung satu perjalanan di ITQSHHB, tetapi saya berharap ini bukan penghujung perjalanan kita bersama Al-Quran. Semoga kita semua menjadi asbab ibu dan ayah kita semua dipakaikan mahkota cahaya sebagai salah satu buah daripada Al-Quran yang pernah kita perjuangkan bersama''.
| ''Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian akademik, bahkan merupakan nikmat dan amanah daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang hadir daripada hasil doa, pengorbanan dan sokongan insan-insan yang dikasihi. Setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan kepada kedua ibu bapa, keluarga, para pensyarah, guru-guru serta sahabat-sahabat yang sentiasa membimbing dan mendoakan. Dalam perjalanan menghafaz Al-Quran, saya berpegang kepada prinsip istiqamah, sabar dan tidak mudah berputus asa kerana hafazan memerlukan kesungguhan yang berterusan. Saya berdoa agar ilmu dan hafazan yang diperoleh menjadi bekalan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Kepada para pelajar, teruslah istiqamah, hargai masa dan guru, serta yakinlah bahawa setiap kesusahan dalam menuntut ilmu pasti mempunyai hikmah dan ganjarannya''.
| ''Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas kejayaan yang saya perolehi semasa menempuhi tiga tahun tempoh pembelajaran dalam bidang ini. Kejayaan ini adalah kurniaan dan amanah besar untuk terus menjaga Kalam Allah, diiringi rasa syukur setinggi-tingginya serta penghargaan buat ibu bapa, para pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan dan mendorong saya untuk menjadi seorang insan yang mempunyai tanggungjawab dan budi pekerti. Prinsip yang sentiasa saya pegang adalah disiplin diri terutama sekali dalam penjagaan waktu, menjaga niat kerana Allah dan tidak pernah jemu mengulang hafazan biarpun berdepan pelbagai cabaran. Harapan saya agar ilmu dan hafazan ini dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara dalam membentuk generasi Wawasan Brunei 2035. Nasihat saya buat rakan-rakan dan adik-adik di ITQSHHB, tanamkan kesabaran yang tinggi, jangan berputus asa, hormati guru, dan jadikan Al-Quran sebagai sahabat sejati dalam setiap langkah kehidupan''.