BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Rumah merupakan tempat kita berlindung dan beristirahat setelah penat bekerja dan menjalani kehidupan. Rumah juga tempat kita berkumpul bersama insan-insan yang kita sayangi. Di situlah anak-anak membesar, seorang ibu mencurahkan kasih sayang, seorang bapa berusaha mencari nafkah dan suami isteri berkongsi suka dan duka dalam kehidupan.
Sebab itu, kita semua mengimpikan sebuah rumah yang tenang dan bahagia. Kita mahu pulang ke rumah lalu menemukan ketenteraman. Kita mahu melihat anak-anak membesar menjadi insan yang baik. Kita mahu hubungan suami isteri dipenuhi kasih sayang dan saling menghormati. Kita mahu rezeki yang diperoleh mencukupi serta membawa keberkatan dan yang paling utama kita mahu rumah kita sentiasa berada dalam pemeliharaan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.
Namun ketenangan dan keberkatan sebuah rumah bukan hanya bergantung kepada keselesaan tempat tinggal, kemewahan atau keindahan hiasannya. Ini kerana rumah yang benar-benar tenang ialah rumah yang dekat dengan Allah Subhanahu Wata'ala iaitu penghuninya mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, menjaga ibadah, memelihara hubungan sesama keluarga dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah serta dilarang Allah Subhanahu Wata'ala. Rumah yang kecil dan sederhana juga boleh menjadi tempat tumbuhnya kasih sayang dan ketaatan. Pada masa yang sama, ujian penyakit, kesempitan rezeki atau masalah keluarga bukan alasan untuk kita menghukum bahawa sesebuah rumah telah kehilangan rahmat Allah. Orang beriman juga diuji. Dalam ujian itulah kita terus berdoa, berusaha dan saling membantu.
Antara petunjuk yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah menghidupkan zikir kepada Allah. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Baginda menerangkan bahawa terdapat malaikat yang mencari majlis-majlis zikir dan mengelilingi orang yang berhimpun mengingati Allah. Maka marilah kita membiasakan keluarga dengan zikir dan bacaan Al-Quran serta mempelajari ajaran agama bersama-sama.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga mengajarkan agar rumah tidak dibiarkan sunyi daripada ibadah. Baginda bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa syaitan menjauh daripada rumah yang dibacakan di dalamnya Surah Al-Baqarah. Maka bacalah Al-Quran di rumah dan berusahalah memahami serta mengamalkan petunjuknya.
Bayangkanlah, rumah yang kita diami setiap hari bukan sahaja menjadi tempat untuk kita berehat dan berkumpul bersama keluarga tetapi turut menjadi tempat yang dinaungi rahmat, keberkatan, keampunan dan ketenangan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amalan ini mengingatkan kita bahawa suasana beragama perlu dibina di rumah. Jangan hanya anak-anak disuruh belajar agama, sedangkan kita sendiri mengabaikan sembahyang dan adab. Tunjukkanlah yang baik supaya ilmu yang mereka pelajari dapat diamalkan dalam kehidupan keluarga.
Dalam usaha memelihara kehidupan yang diredai Allah, kita hendaklah menjauhi perbuatan yang merosakkan hubungan keluarga dan mencemarkan rezeki. Antara perkara yang perlu kita beri perhatian ialah :
Pertama : Memutuskan hubungan kekeluargaan. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : maksudnya : "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim". (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Sesungguhnya perselisihan dalam keluarga kadang-kadang bermula daripada perkara yang kecil. Namun, apabila masing-masing berkeras, tidak mahu bertegur sapa dan enggan memaafkan, hubungan yang dahulu rapat akhirnya menjadi renggang. Janganlah kita biarkan perselisihan itu berterusan dan berpanjangan.
Oleh itu, jika ada kesalahan, maafkanlah. Jika ada hati yang terluka, ubatilah. Jika hubungan semakin renggang, rapatkanlah kembali. Jika sudah terputus, sambungkanlah semula. Jangan kita menunggu sehingga seseorang pergi buat selama-lamanya, barulah kita menyesal kerana tidak sempat meminta maaf dan berbaik semula. Kadang-kadang, untuk mengembalikan rahmat itu, kita hanya perlu mengalah, memaafkan dan merapatkan kembali hubungan persaudaraan.
Kedua : Menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Berbuat baiklah kepada mereka, berbicaralah dengan sopan dan bantulah mengikut kemampuan. Jika tinggal berjauhan, bertanyalah khabar dan jangan abaikan keperluan mereka.
Ketiga : Mengambil atau menggunakan harta anak yatim secara zalim. Harta yang diamanahkan kepada kita hendaklah dijaga dan digunakan mengikut hak pemiliknya, bukan untuk kepentingan sendiri.
Keempat : Terlibat dalam riba. Peliharalah sumber pendapatan dan urusan kewangan daripada perkara yang haram, jika ada urusan yang diragui hukumnya, dapatkan penjelasan sebelum meneruskannya.
Kelima : Mengabaikan zikir dan ibadah di rumah. Utamakan penjagaan sembahyang dan biasakan bacaan Al-Quran. Ibu bapa hendaklah membimbing anak-anak dengan sabar serta menunjukkan amalan yang baik.
Kadang-kadang, sebuah rumah kehilangan ketenangan bukan kerana rumah itu kecil, sempit atau serba kekurangan. Sebaliknya, ketenangan itu boleh hilang kerana kata-kata yang keluar daripada lidah penghuninya. Kata-kata kasar, cacian, maki hamun, penghinaan dan sindiran mungkin hanya keluar beberapa saat daripada mulut kita. Tetapi ia meninggalkan kesan dalam hati orang yang mendengarnya.
Perlu kita ingat, ada kata-kata yang mungkin telah kita lupakan, tetapi masih tersimpan dalam ingatan anak-anak kita. Ada kata-kata yang kita anggap sekadar nasihat, tetapi mungkin menjadi luka yang dipendam oleh pasangan kita. Ada pula kata-kata yang kita ucapkan tanpa berfikir, tetapi membuatkan orang yang kita sayangi berasa tidak dihargai. Sebab itu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengingatkan kita agar menjaga lisan. Daripada Abdullah bin Mas'ud Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : maksudnya : "Bukanlah seorang Mukmin itu orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berbuat keji dan bukan pula yang kotor lidahnya". (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)
Kita mungkin tidak mampu menjadikan rumah kita sempurna. Namun, kita mampu menjadikan rumah kita lebih dekat dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Marilah kita mulakan dengan melakukan perkara-perkara yang mudah, jagalah hubungan kekeluargaan, berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapa, jauhilah harta yang haram dan riba, peliharalah amanah, hidupkanlah rumah dengan zikir dan ibadah, jagalah percakapan serta jauhkanlah rumah kita daripada perbuatan maksiat dan perkara yang ditegah oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Maka mulakanlah pada hari ini, luangkan masa bersama keluarga untuk membaca Al-Quran atau mempelajari satu pengajaran agama. Ketika berbual letakkan telefon bimbit agar kita benar-benar mendengar. Apabila tersalah kata, meminta maaflah dan perbaiki cara kita menegur. Amalan yang kecil tetapi dilakukan dengan istiqamah akan membantu membina kehidupan keluarga yang lebih baik.
Sesungguhnya rumah yang penuh rahmat ialah rumah yang penghuninya sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga rumah kita menjadi tempat turunnya rahmat, keberkatan dan keampunan Allah Subhanahu Wata'ala serta menjadi tempat tumbuhnya keluarga yang saling menyayangi, saling memaafkan dan saling membantu untuk semakin dekat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah mengingati Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang mengurniakan rahmat kepada kamu dan malaikat-malaikat-Nya pula (berdoa memohonkan ampun bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu daripada kegelapan-kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan Dia adalah Maha Pengasih kepada orang-orang yang beriman". (Surah Al-Ahzab, ayat 41-43)