Sebarkan kasih sayang, hentikan buli

29 Og 2026 - 10:27am

BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Keamanan yang kita nikmati merupakan anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang amat besar nilainya. Melalui nikmat keamanan, kita diberi kesempatan untuk menjalani kehidupan, melaksanakan aktiviti harian serta menunaikan ibadah dalam suasana yang penuh ketenangan.

Namun begitu, kita harus sedar bahawa kehidupan ini tidak pernah sunyi daripada menghadapi ujian konflik berupa perselisihan ataupun pertikaian. Selaku umat Islam, kita sewajarnya sentiasa mengutamakan keharmonian dan mengekalkan perpaduan.

Hal ini hanya dapat dicapai sekiranya setiap individu bertindak dengan penuh kesabaran, tidak mudah dikuasai emosi serta bijak mengawal dan menahan perasaan marah dengan sebaik-baiknya agar setiap perselisihan mahupun pertikaian dapat diselesaikan secara damai.

Ingatlah, Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan kasih sayang sentiasa mengajar umatnya supaya saling menyayangi, berakhlak mulia serta berbuat baik sesama manusia. Melalui sifat kasih sayang inilah Allah Subhanahu Wata'ala menyatukan dan mengeratkan hubungan antara sesama Mukmin.

Dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Az-Zubair Radiallahuanhu dia berkata, saya mendengar Jabir bin Abdullah Radiallahuanhu berkata, saya mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : "Seorang Muslim (yang sejati) adalah orang yang mana kaum Muslim lainnya selamat daripada (bahaya) lisan dan tangannya". (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dalam kehidupan bermasyarakat, kita tidak dapat menafikan bahawa perbuatan menyakiti dan menzalimi orang lain masih boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui kata-kata, tindakan fizikal mahupun media sosial. Perbuatan seumpama ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut kita menghormati sesama manusia dan menjauhi segala bentuk kezaliman.

Antara perbuatan yang wajib kita cegah ialah buli, iaitu perbuatan menghina, mengancam, menindas atau menyakiti seseorang sehingga menjejaskan maruah, emosi dan keselamatannya. Buli boleh berlaku di sekolah, di tempat kerja, dalam keluarga atau dalam talian.

Gejala buli bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi dan kesejahteraan mangsa, malah boleh merenggangkan hubungan persaudaraan, persahabatan serta menjejaskan keharmonian masyarakat. Lebih membimbangkan lagi, jika penyakit sosial ini tidak dibendung, perbuatan ini boleh mengakibatkan kesan yang sangat serius, termasuk kehilangan nyawa yang tidak berdosa.

Dalam pandangan Islam, perbuatan membuli adalah haram hukumnya. Ia merupakan satu bentuk penindasan, sedangkan agama kita sama sekali tidak membenarkan sebarang bentuk penindasan. Islam mengajar umatnya supaya sentiasa menghormati, menyayangi dan menjaga kebajikan sesama manusia. Seorang Muslim ditegah daripada menyakiti atau menyusahkan saudaranya, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau apa jua bentuk tindakan yang boleh mendatangkan mudarat. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari Radiallahuanhu, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda meriwayatkan daripada Allah Azza Wajalla, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman :

Maksudnya : "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kamu, maka janganlah saling menzalimi". (Hadis Qudsi, riwayat Imam Muslim)

Apabila berlaku perselisihan faham, pertelingkahan atau permusuhan dalam kalangan saudara seagama, kita hendaklah berusaha untuk mendamaikan mereka serta mengeratkan kembali hubungan tali persaudaraan yang telah renggang. Tindakan ini bukan sahaja dapat memelihara ukhuwah Islamiah, malah menjadi satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa Islam amat menitikberatkan kehidupan yang harmoni dan menuntut umatnya agar sentiasa memelihara hubungan persaudaraan, menghindari permusuhan serta berusaha mewujudkan suasana yang sejahtera dalam setiap lapisan masyarakat.

Oleh itu, sekiranya ajaran Islam benar-benar diamalkan dan dihayati secara menyeluruh dalam kehidupan seharian, sudah pasti gejala buli, penindasan dan pelbagai bentuk kekejaman dapat dicegah dan dibendung. Dengan itu, suasana yang aman dan saling menghormati dapat diwujudkan di mana sahaja, sama ada di sekolah, di tempat kerja, dalam institusi keluarga mahupun dalam masyarakat secara keseluruhannya.

Maka justeru itu, apabila kita melihat atau mengetahui berlakunya perbuatan buli, janganlah kita berdiam diri, menjadi penonton atau menyebarkan rakaman yang mengaibkan mangsa. Bantulah dengan cara yang selamat, berikan sokongan kepada mangsa dan laporkanlah kepada ibu bapa, guru, pihak pengurusan atau pihak berkuasa yang berkenaan. Setiap aduan hendaklah ditangani dengan segera, adil dan berhikmah agar mangsa dilindungi, manakala pelaku dibimbing serta diambil tindakan yang sewajarnya.

Akhlak dan budi pekerti yang mulia merupakan asas yang kukuh dalam membentuk insan yang berhati bersih, ikhlas, mencintai kebaikan serta menjauhi segala bentuk kejahatan. Dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah contoh teladan terbaik yang wajar kita ikuti dalam setiap aspek kehidupan. Justeru, jadikanlah Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai suri teladan dalam tutur kata, tingkah laku dan cara berinteraksi dengan orang lain, khususnya bagi generasi muda yang sedang mencari arah dan pedoman hidup.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan satu doa yang ringkas namun penuh makna agar kita dikurniakan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Daripada Aisyah Radiallahuanha bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sering berdoa :

Maksudnya : "Ya Allah, sebagaimana Engkau telah elokkan rupaku maka perelokkanlah pula akhlakku".

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai diri. Jauhilah perbuatan membuli serta segala bentuk kezaliman kerana ia hanya mengundang penderitaan, mencetuskan permusuhan dan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. Sebaliknya, marilah kita suburkan kehidupan ini dengan nilai kasih sayang, belas  ihsan, sikap saling menghormati dan semangat tolong-menolong. Kita jadikan rumah, sekolah, tempat kerja dan masyarakat sebagai ruang yang selamat dan penuh berhemah. Suburkanlah kasih sayang melalui tutur kata yang lembut, akhlak yang mulia dan tindakan yang membawa manfaat. Mudah-mudahan kita memperoleh keredaan Allah Subhanahu Wata'ala dan dihimpunkan bersama orang-orang yang beriman di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya : "Dan (juga bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan". (Surah Ash-Shura, ayat 37)