BERTAKWALAH kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertakwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Ilmu ialah anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang amat besar nilainya bagi kita. Ilmu bukan sekadar menambah pengetahuan, bahkan menjadi asas penting yang mengangkat darjat, membina maruah diri dan menjadi panduan hidup kita di dunia sehingga ke akhirat. Apabila kita berbicara tentang ilmu dan pendidikan, pendidikan ugama mempunyai peranan yang amat penting. Pendidikan ugama bukan sekadar menyampaikan pengetahuan tentang ugama. Pendidikan ugama membimbing manusia supaya ilmu yang dipelajari diterjemahkan dalam kehidupan melalui penghayatan iman, pelaksanaan ibadah dan kemuliaan akhlak.
Alhamdulillah, pada tahun ini, genaplah 70 tahun pendidikan ugama formal di Negara Brunei Darussalam dengan tema 'Tujuh Dekad Pendidikan Ugama Formal : Evolusi, Transformasi dan Legasi'. 'Evolusi' menggambarkan perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan ugama formal selaras dengan keperluan semasa. Dari sistem yang sederhana pada peringkat awal, pendidikan ugama telah berkembang kepada struktur yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Manakala 'transformasi' pula menekankan usaha berterusan untuk memperbaharui dan memperkukuh pendidikan ugama agar kekal relevan dalam era globalisasi dan teknologi tanpa mengorbankan asas akidah, syariat dan akhlak. Sementara itu, 'legasi' merujuk kepada warisan dan asas kukuh yang telah dibina sejak penubuhan pendidikan ugama formal. Ia meliputi usaha gigih para ulama, pendidik dan pemimpin dalam membentuk sistem pendidikan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Marilah kita berdoa semoga segala usaha dalam memartabatkan pendidikan ugama di Negara Brunei Darussalam mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala serta terus melahirkan generasi yang berilmu, beriman, beramal, berakhlak mulia dan mampu memberikan manfaat kepada ugama, bangsa dan negara. Amin Ya Rabbal Alamin.
Tafsirnya : "Bacalah (wahai Nabi Muhammad) dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia menulis) dengan kalam (pena). Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya". (Surah Al-Alaq, ayat 1-5)