Ambil langkah waspada, penjagaan ketika jerebu

2 Sep 2026 - 11:56am

FENOMENA jerebu telah melanda Negara Brunei Darussalam ketika ini, oleh itu, orang ramai khususnya ibu bapa digesa untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah sepanjang fenomena ini berlaku, bagi memelihara kesihatan anak-anak dan keluarga susulan kualiti udara yang semakin membimbangkan.

Pendedahan kepada jerebu boleh menyebabkan kesan kesihatan ringan seperti batuk, iritasi mata dan hidung berair serta boleh memburukkan masalah kesihatan sedia ada, khususnya asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan diri dan keluarga. Sentiasa ikuti perkembangan terkini mengenai keadaan dan bacaan kualiti udara melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) di Instagram @jastre.bn dan www.env.gov.bn.

Dalam kalangan individu yang sihat, pendedahan jangka masa pendek iaitu dalam masa beberapa hari kepada jerebu yang tinggi boleh menyebabkan kerengsaan terhadap bahagian tubuh yang terdedah kepada udara. Ini termasuklah menyebabkan kepedihan mata, hidung berair dan bersin serta sakit tekak. Keadaan ini kebiasaannya reda dengan sendiri dalam kebanyakan kes.

Tidak terkecuali juga, masalah kulit didapati boleh bertambah buruk disebabkan jerebu. Jerebu juga boleh menjejaskan jantung dan paru-paru, terutamanya pada mereka yang sudah mempunyai penyakit jantung atau paru-paru.

Antara langkah penjagaan diri semasa jerebu ialah elakkan aktiviti luar khususnya bagi kanak-kanak, ibu hamil, warga emas dan orang yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung dan pernafasan perlu kekal di dalam rumah apabila kualiti udara pada tahap tidak sihat.

Orang dewasa yang sihat perlu elakkan aktiviti luar yang tidak diperlukan. Jika awda perlu bersenam, elakkan bersenam di kawasan yang sangat sesak berhampiran jalan raya, terutamanya semasa waktu sibuk.

Seterusnya meminum lebih banyak air dan meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar kerana ia membantu tubuh menyingkirkan toksin yang diserap melalui kulit dan paru-paru dan memperbaiki sistem imun. Pengambilan lebih banyak buah dan sayur anti-radang juga membantu mengurangkan keradangan yang disebabkan zarah halus udara yang berbahaya.

Kemudian, penggunaan penapis udara yang dilengkapi HEPA filter boleh mebantu mengurangkan kadar pencemaran udara di dalam kawasan tertutup. Jika jerebu semakin teruk dan awda perlu berada di luar, gunakan sungkup muka yang bersesuaian dan pastikan ia dipakai dengan betul.

Jika awda menghidap penyakit kronik, ambil ubat secara teratur mengikut nasihat doktor. Dapatkan pemeriksaan dan rawatan dengan segera sekiranya mengalami selesema atau batuk yang berpanjangan, alahan, sesak nafas atau kesukaran bernafas. – Ketua Penyuntingan (Zk)