KEADAAN cuaca di Negara Brunei Darussalam diramalkan panas dan kering dengan aktiviti turunan hujan yang minimum sehingga hujung bulan ini dengan sedikit berjerebu disebabkan oleh jerebu rentas sempadan. Manakala, suhu maksimum harian dijangkakan berada dalam lingkungan 33 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), titik panas dan jerebu di beberapa kawasan di selatan ASEAN mungkin bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang berikutan cuaca kering yang berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan.
Beberapa stesen kualiti udara di Kalimantan Barat dan Selatan, barat Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta Sumatera tengah dan selatan juga dilaporkan merekodkan bacaan 'tidak sihat' hingga 'sangat tidak sihat'.
Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu kanak-kanak; orang tua; mereka yang mengalami penyakit asma, bronchitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik, jantung, alahan. Begitu juga perokok dan mereka yang sentiasa berkerja di luar pejabat atau rumah.
Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk. Di samping itu, kita akan merasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas. Mata terasa pedih dan berair. Hidung berair dan kerap bersin. Bukan itu saja, kulit badan juga akan terasa gatal-gatal. Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya awda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.
Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan. Penutup hidung dan mulut (mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih. Gunakan kemudahan pendingin udara sekiranya menaiki kenderaan awda. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya, mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar dari kawasan tersebut.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah-langkah berpatutan berikutan keadaan cuaca panas dan kering. Elakkan pembakaran terbuka, hadkan aktiviti di luar rumah dan jaga kesihatan sepanjang musim panas ini. - Ketua Penyuntingan (Ad)