DALAM meniti arus kemodenan yang semakin pesat, amalan gaya hidup sihat semakin penting dalam kehidupan setiap individu. Gaya hidup sihat merangkumi pelbagai amalan seperti pengambilan makanan yang seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara berkala, mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi serta menjaga kesihatan mental. Kesihatan yang baik merupakan aset paling berharga kerana tanpa tubuh badan yang sihat, seseorang sukar menjalani kehidupan dengan sempurna. Oleh itu, setiap individu perlulah menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan harian.
Kesihatan yang optima bukan sekadar bebas daripada penyakit, malah merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan emosi. Tubuh yang sihat membolehkan seseorang menjalani kehidupan dengan lebih aktif, produktif dan ceria. Oleh itu, setiap individu perlulah mengambil berat tentang kesihatan diri sejak usia muda.
Individu yang sihat mempunyai tenaga yang mencukupi untuk melakukan aktiviti seperti belajar, bekerja dan bersukan. Sebagai contoh, pelajar yang menjaga kesihatan dapat memberikan tumpuan yang lebih baik semasa berada di dalam kelas. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Selain itu, kesihatan yang baik dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit. Amalan pemakanan yang seimbang, senaman yang berkala dan tidur yang mencukupi mampu membantu tubuh berfungsi dengan baik. Pengambilan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan protein juga dapat menguatkan sistem imunisasi badan. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang dapat mengurangkan kemungkinan menghidap penyakit seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.
Gaya hidup sihat juga dapat meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan kehidupan yang lebih bahagia. Apabila seseorang sihat dari segi fizikal dan mental, mereka lebih bersemangat untuk melakukan aktiviti yang diminati. Mereka juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan tanpa terlalu dibelenggu masalah kesihatan. Hubungan sosial yang baik pula dapat memberikan sokongan emosi dan mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. Dalam hal ini, kesihatan bukan sahaja memberikan manfaat kepada individu, malah turut memberikan kesan positif kepada keluarga dan masyarakat.
Oleh itu, menjaga kesihatan merupakan satu amanah dan tanggungjawab semua. Marilah kita menjadikan penjagaan kesihatan sebagai sebahagian daripada amalan hidup agar dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan bermakna. - Ketua Penyuntingan (Kr)