Peluang bertemu raja yang dikasihi, dicintai

22 Jul 2026 - 3:37pm

MAJLIS Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjadi satu acara yang sangat dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk di negara ini untuk bertemu dan merafakkan sembah tahniah Kehadapan Majlis baginda dan kerabat-kerabat diraja yang lain.

Pada tahun ini, Daerah Tutong menjadi daerah yang pertama untuk majlis tersebut yang akan diadakan di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong. Sehubungan itu, inilah peluang keemasan bagi rakyat dan penduduk di daerah berkenaan untuk bertemu dan berjunjung ziarah bersama baginda.

Bertemu dengan raja yang dikasihi dan dicintai adalah satu momen yang penuh bermakna dan menyentuh hati. Ia bukan sekadar pertemuan fizikal, tetapi juga kesempatan untuk menzahirkan rasa syukur, kasih dan kesetiaan yang mendalam Kehadapan Majlis baginda.

Raja yang dikasihi dan dicintai menjadi lambang perpaduan, keadilan, kebijaksanaan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, peluang untuk bertemu dan bersua muka Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menimbulkan perasaan bangga, syukur dan terharu dalam diri rakyat.

Pertemuan ini juga mencerminkan penghargaan terhadap institusi beraja yang memainkan peranan penting dalam memelihara keamanan, keharmonian serta warisan dan identiti negara.

Oleh itu, bertemu dan menjunjung ziarah Kehadapan Majlis baginda merupakan satu penghormatan yang besar, dengan demikian, setiap rakyat dan penduduk hendaklah menjaga adab, tingkah laku dan penampilan bagi mencerminkan rasa hormat terhadap institusi beraja.

Setiap individu hendaklah bersikap tenang, berbudi bahasa serta menjaga tutur kata. Sapaan kepada baginda perlu menggunakan bahasa yang sopan dan mengikut protokol yang ditetapkan. Sikap merendah diri, sabar dan berhemah mencerminkan akhlak yang baik serta penghormatan kepada raja.

Etika ketika bertemu raja yang dikasihi bukan sekadar memenuhi peraturan protokol tetapi mencerminkan nilai murni seperti hormat, kesopanan, disiplin dan penghargaan terhadap institusi beraja. Pengamalan etika yang baik akan menjadikan pertemuan tersebut lebih bermakna serta memperlihatkan keperibadian dan jati diri rakyat yang beradab.

Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada 29 Julai 2026 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifudien, Bandar Seri Begawan manakala bagi Daerah Belait pula, majlis tersebut akan diadakan pada 1 Ogos 2026 bertempat di Kawasan Padang Bandaran, Kuala Belait dan Daerah Temburong pula pada 4 Ogos 2026 bertempat di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Justeru, rakyat dan penduduk di setiap daerah adalah dijemput untuk hadir bagi sama-sama menjunjung keberangkatan baginda dan setentunya menjunjung ziarah serta beramah mesra bersama baginda yang disayangi sekali gus mencerminkan hubungan istimewa antara raja dan rakyat. Raja yang dikasihi bukan sahaja dihormati kerana kedudukannya sebagai ketua negara, malah disayangi kerana sifat kepimpinan yang berteraskan kebijaksanaan, keadilan, keprihatinan dan tanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat. – Ketua Penyuntingan (Zk)