Perkasa aktiviti keusahawanan, kukuhkan ekonomi negara

26 Okt 2026 - 9:55am

KEUSAHAWANAN merupakan antara faktor penting dalam pembentukan landskap ekonomi sesebuah negara yang dinamik dan berdaya saing. Dalam era globalisasi dan ketidakpastian ekonomi global, keberanian masyarakat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan bukan lagi sekadar pilihan kerjaya peribadi, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab strategik demi memastikan kelangsungan serta ketahanan ekonomi negara.

Penglibatan masyarakat dalam bidang keusahawanan dapat meningkatkan pendapatan negara, membuka peluang pekerjaan, mengurangkan kebergantungan kepada sektor awam serta menggalakkan inovasi dalam pelbagai bidang. Usaha untuk menggalakkan masyarakat menceburi bidang keusahawanan perlu dirancang dengan baik supaya ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mampu menghadapi pelbagai cabaran.

Antara kepentingan utama keusahawanan ialah keupayaannya untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara. Apabila lebih ramai rakyat melibatkan diri dalam bidang perniagaan, pelbagai aktiviti ekonomi dapat berkembang, termasuk dalam sektor makanan, pertanian, teknologi, pelancongan dan perkhidmatan. Aktiviti ini dapat meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan tempatan serta menggalakkan peredaran wang dalam negara. Secara tidak langsung, perkembangan sektor keusahawanan dapat membantu mengukuhkan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.

Bagi memastikan bidang keusahawanan terus berkembang, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat amat diperlukan.

Di Negara Brunei Darussalam, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) sangat aktif menyokong pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana tempatan melalui pelbagai inisiatif seperti menyediakan Micro Bootcamp dan Siri Libat Urus (BEDB Engagement Series) bagi membantu usahawan memperkasakan daya saing serta daya tahan perniagaan.

Pada masa yang sama, institusi pendidikan perlu memupuk minat terhadap keusahawanan melalui program latihan, pertandingan inovasi dan aktiviti perniagaan dalam kalangan pelajar. Masyarakat pula boleh memainkan peranan dengan menyokong produk tempatan dan memberikan peluang kepada usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka. Kerjasama yang berterusan ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran perniagaan.

Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk membudayakan keusahawanan dan memberikan sokongan kepada usahawan tempatan. Masyarakat, khususnya golongan belia, harus berani mengambil peluang, menimba ilmu dan memulakan perniagaan mengikut kemampuan masing-masing. Melibatkan diri dalam keusahawanan bukan sekadar usaha mencapai kejayaan individu, tetapi juga satu langkah penting untuk memperkasa ekonomi dan menjamin kesejahteraan negara pada masa hadapan. - Ketua Penyuntingan (Kr)