Syukur kunci kebahagiaan

20 Jul 2026 - 2:13pm

SYUKUR bermaksud mengiktiraf segala nikmat yang diberikan dengan mengucapkan 'Alhamdulillah' serta menggunakan nikmat tersebut pada jalan yang diredai Allah Subhanahu Wata'ala. Nikmat Allah tidak terhad kepada rezeki berupa duit, bahkan merangkumi kesihatan, keluarga, keamanan, ilmu dan kesejahteraan hidup.

Namun, kebahagiaan sebenar tidak hanya bergantung pada banyaknya harta atau tingginya kedudukan. Sebaliknya, kebahagiaan bermula daripada hati yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan bahawa orang yang bersyukur akan ditambah nikmatnya.

Dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah nikmat kepadamu. Tetapi jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih".

Ini menunjukkan bahawa syukur bukan sahaja mendatangkan ketenangan jiwa, malah menjadi sebab bertambahnya keberkatan dalam kehidupan seharian.

Amalan bersyukur boleh dipupuk melalui beberapa cara, antaranya ialah memulakan hari dengan memuji Allah Subhanahu Wata'ala atas nikmat rezeki yang diberikan. Selain itu ialah memperbanyakkan sedekah sebagai tanda menghargai rezeki. Jika kita menghadapi sebarang ujian, jadikan ujian tersebut sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang juga merupakan tanda kesyukuran yang sebenar.

Oleh itu, bersyukur ialah kunci kepada kebahagiaan yang hakiki. Harta yang banyak belum tentu menjamin kebahagiaan, tetapi hati yang sentiasa bersyukur akan merasa cukup, tenang dan bahagia.

Kita selaku rakyat Negara Brunei Darussalam sangat bersyukur dengan keamanan serta kesejahteraan di bumi bertuah di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ambillah peluang serta nikmat keamanan ini untuk terus menaruh bakti kepada negara dengan sama-sama berganding bahu memacu pembangunan negara sekali gus menjayakan Wawasan Brunei 2035. - Ketua Penyuntingan (Kr)