8 pasukan mara ke pusingan kedua Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026

7 Sep 2026 - 5:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Urus Setia Futsal Piala Keputeraan 2026

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 September. - Lapan pasukan daripada Kumpulan A dan Kumpulan B mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026 selepas mengharungi saingan liga dalam kumpulan masing-masing.

Kejohanan dwitahunan itu telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.

Turut hadir ialah Pengerusi Bersama Kejohanan, Awang Fairuz Khan dan Thomas Koh, yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pagi ini.

Pusingan Kedua menyaksikan kemaraan empat pasukan dari Kumpulan A, iaitu Wirajaya dari Miri, Sarawak, PES, Syahkampong dan SBC A.

Manakala, Kumpulan B diwakili oleh pasukan SBC B, Wasik FC A, ISC B dan BK Sahabat juga berjaya mempastikan mara ke pusingan kedua.

Sementara itu, pasukan MSSSBD dan AEKS pula  terkandas di peringkat kumpulan.

Kejohanan berkenaan merupakan  antara acara menarik  dalam kalendar Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2026.

Sebanyak 18 pasukan mengesahkan penyertaan dalam kejohanan berkenaan, termasuk pasukan dari Republik Singapura dan Malaysia.

Kejohanan yang mendapat sambutan dalam kalangan peminat sukan futsal tanah airitu diharap menjadi platform terbaik untuk menggilap bakat dan potensi pemain-pemain tempatan, sekali gus membantu mengembangkan lagi sukan futsal di negara ini.

Kejohanan berkenaan dijadualkan diteruskan minggu depan dengan menyaksikan perlawanan liga dalam  Kumpulan C yang dibarisi oleh pasukan YND, Fenix FT, KAR, ISC A dan Wasik FC B. Manakala pasukan DS X Kota, Makkah FC, ASEAN Futsal dan BK Sahabat X AR yang akan bersaing dalam Kumpulan D menjadi perlawanan yang ditunggu-tunggu.

Pasukan Kasuka Ar-Rawda merupakan pasukan juara bertahan selepas menjuarai kejohanan berkenaan pada tahun 2022 dan 2024.