Atlet lawan pedang negara meneruskan saingan

21 Og 2026 - 6:26am

Oleh : Srinarawie Bidzah

Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026

SELANGOR, MALAYSIA, Khamis, 20 Ogos. – Atlet lawan pedang Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu Nabila Fa’izah Muhd. Hisyam, meneruskan perjuangan dalam acara Kategori Epee Wanita Individu yang berlangsung di Dewan Pusat Sukan UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

Pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 berkenaan, Nabila Fa’izah turun beraksi dalam peringkat awal Kumpulan 1 dengan menghadapi lima perlawanan menentang wakil dari Penang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor.

Dalam perlawanan pertama, Nabila Fa’izah tewas kepada wakil dari Penang dengan keputusan 1-5. Beliau kemudiannya bangkit dalam perlawanan kedua dengan mencatat kemenangan ke atas wakil dari Perak, juga dengan keputusan 5-1.

Dalam aksi seterusnya, wakil negara berdepan wakil dari Negeri Sembilan dan terpaksa akur dengan keputusan 1-5. Nabila Fa’izah kemudian memberikan saingan sengit kepada wakil dari Sabah, namun tewas tipis 4-5.

Dalam perlawanan terakhir, Nabila Fa’izah sekali lagi menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika menentang wakil dari Johor sebelum tewas dengan keputusan 4-5.

Secara keseluruhannya, Nabila Fa’Izah merekodkan satu kemenangan daripada lima perlawanan dalam peringkat kumpulan berkenaan.