DPMM FC II benam Jerudong FC 9-1

26 Okt 2026 - 6:23am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Ahad, 25 Oktober. - DPMM FC II mengekalkan prestasi cemerlang apabila berjaya menewaskan Jerudong FC dengan keputusan 9-1 dalam perlawanan kelima Liga Super Brunei 2026/2027 (Brunei Super League 2026/2027) yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Kaua Santana Santos Da Silva membuka tirai jaringan buat DPMM FC II sebelum Abdul Azizi Ali Rahman menambah gol menjelang tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, Jefferson Silva Dos Santos mencuri tumpuan apabila meledak tiga gol buat DPMM FC II, manakala Kaua Santana Santos Da Silva sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring untuk memperkukuh kedudukan DPMM FC II.

Jerudong FC pula memperoleh gol tunggal menerusi Muhammad Fithratul Rahman Ratano.

Dominasi DPMM FC II diteruskan menerusi jaringan Abdul Azim Abdul Rasid dan Awangku Faris Fadillah Pengiran Saiful Bahari, sekali gus melebarkan jurang jaringan kepada 8-1.

Ketua Pasukan Jerudong FC, Yansen Effendi pula membantu menambah jaringan buat DPMM FC II, apabila membuat kesalahan dengan menendang bola masuk ke gawang sendiri.

Keputusan 9-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan DPMM FC II mencatatkan kemenangan besar dalam perlawanan berkenaan.