Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman, Tangkap Layar RTBgo
JOHOR, Jumaat, 4 September. – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam saingan Liga Super Malaysia Musim 2026 / 2027 ini selepas membaham DPMM FC 3 - 0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Bergson da Silva membantu JDT FC mengukuhkan kedudukan dengan menyumbangkan dua gol bagi pasukan berkenaan. Pada perlawanan kali ini, penjaga gol DPMM FC Samuel Somerville membuat penampilan pertamanya.
Pada babak pertama perlawanan, gandingan Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi berusaha mencari gol awal buat tuan rumah, namun DPMM FC berjaya mempamerkan corak permainan yang berdisiplin dengan menangkis setiap asakan yang diberikan oleh pasukan tuan rumah.
Namun pada minit ke-36, Bergson da Silva berjaya membuka tirai jaringan dan pada minit ke-39, beliau sekali lagi berjaya menembusi gawang DPMM FC.
Manakala pada babak kedua perlawanan menyaksikan JDT FC terus berusaha meningkatkan tekanan ke atas benteng pertahanan DPMM FC dalam memburu gol tambahan. Akan tetapi pada minit ke-89, hasil daripada ledakan gol Stoichkov berjaya menambahkan jaringan gol bagi JDT FC.
JDT FC terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 3 - 0 kekal sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan oleh pengadil perlawanan. DPMM FC akan berentap menemui Sabah FC pada 13 September 2026 nanti di Stadium Likas.