Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Kampung Panchor Murai
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Oktober. – Eco Trail Panchor Murai dengan laluan trek sepanjang 3.8 kilometer, berpotensi sebagai destinasi rekreasi alam semula jadi yang menarik bagi peminat aktiviti mendaki bukit (hiking) dengan menyediakan cabaran fizikal, keindahan flora dan fauna serta pemandangan menarik dari puncak bukit.
Laluan berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung untuk meneroka keindahan alam semula jadi, malah menguji ketahanan fizikal dan mental menerusi trek yang merentasi beberapa kawasan berbukit.
Majlis Perasmian Eco Trail Panchor Murai yang terletak di Kampung Panchor Murai berkenaan telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Awang Haji Arfan bin Haji Mohd. Yusof, pada awal pagi tadi.
Hampir 300 peminat aktiviti mendaki menyertai ekspedisi menjelajah laluan berkenaan sempena perasmiannya, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi.
Ketua Projek Nekad Murni, Majlis Perundingan Kampung Panchor Murai, Awang Japar bin Haji Osman menzahirkan keyakinan Eco Trail Panchor Murai akan menarik lebih ramai penggemar aktiviti mendaki untuk mencabar keupayaan fizikal serta menimba pengalaman baharu sepanjang meneroka laluan rekreasi berkenaan.
Menurutnya lagi, selain memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi, aktiviti mendaki juga dapat menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Beliau menambah Eco Trail Panchor Murai berpotensi menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan alam semula jadi serta identiti Kampung Panchor Murai kepada masyarakat tempatan dan pelancong dari luar negara.
“Inisiatif berkenaan juga diharap dapat merancakkan kegiatan pelancongan berasaskan komuniti serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung.
“Dengan adanya tarikan rekreasi ini, Kampung Panchor Murai berpotensi sebagai destinasi pilihan bagi mereka yang ingin mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” ujarnya lagi.