Ibnu Batutah (PDI B) juara kejohanan futsal

7 Sep 2026 - 5:35am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BERAKAS, Ahad, 6 September. - Pasukan Ibnu Batutah (PDI B) muncul johan pada Kejohanan Futsal 6 Orang Sepasukan Skim Bimbingan Lanjutan II (Mualaf) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi Seluruh Negara setelah berjaya mengumpul 13 mata.

Tempat kedua diraih oleh pasukan Ibnu Sina (PDI A) dengan 11 mata manakala pasukan Ibnu Khaldun (PDI C) memenangi tempat ketiga dengan 10 mata.

Kejohanan anjuran Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf dengan kerjasama Badan Sukan PDI itu diadakan di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya, Berakas, di sini.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan, iaitu tiga pasukan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PDI, manakala empat pasukan daripada para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II (Mualaf) dari keempat-empat daerah, dengan setiap pasukan terdiri daripada enam orang pemain.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar.

Di samping itu, hadiah turut disampaikan kepada Pemain Terbaik, Veteran Terbaik, Penjaga Gawang Terbaik dan Penjaring Terbanyak.

Terdahulu atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.

Acara diteruskan dengan Ucapan Perasmian Kejohanan Futsal 6 Orang Sepasukan Skim Bimbingan Lanjutan II (Mualaf) yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah PDI, Awang Isham bin Ismail.

Ia kemudiannya diteruskan dengan perlawanan futsal sehingga selesai, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para johan, naib johan dan tempat ketiga.

Penganjuran kejohanan tersebut antara lain bertujuan untuk menanam dan memupuk semangat kesukanan, mengeratkan silaturahim, memupuk semangat bersatu padu dan setia kawan serta menyemai perasaan ukhuwah dalam kalangan pegawai dan kakitangan PDI serta para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II (Mualaf) yang menyertai kejohanan berkenaan.

Selain itu, kejohanan tersebut juga merupakan salah satu aktiviti sukan bagi Skim Bimbingan Lanjutan II (Mualaf) dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat serta membentuk warga yang sihat, aktif dan dinamik.

Dengan adanya penganjuran aktiviti seperti ini, diharapkan hubungan silaturahim dan ukhuwah antara pegawai dan kakitangan PDI dengan para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II (Mualaf) akan terus diperkukuhkan, di samping menyokong usaha melahirkan warga yang sihat, cergas dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.