Berita dan Foto : Ihsan Indera SC
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Kelab Sukan Indera (Indera SC) bertekad untuk mempamerkan kemantapan tersendiri apabila berdepan Batam Premier FC dari Republik Indonesia pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Jemputan Batam Premier FC.
Kejohanan bertaraf antarabangsa yang menggunakan format FIFA Series itu turut menyaksikan penyertaan pasukan dari Republik Singapura, Geylang International FC, serta Garudayaska FC dari Republik Indonesia.
“Kejohanan ini merupakan perlawanan pramusim bagi kelab ini sebelum membuka tirai saingan Liga Super Brunei yang bermula awal September ini. Kami akan menilai keberkesanan dan corak permainan, di samping memperbaiki kelemahan yang ada,” jelas Presiden I Kelab Bola Sepak Indera SC, Pengiran Anak Haji Mohd. Yassin Pengiran Anak Safiuddin.
Beliau turut melahirkan keyakinan dan penghargaan terhadap usaha setiap pemain dalam meningkatkan reputasi serta memantapkan pasukan Indera SC sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super Brunei nanti.
Rombongan Indera SC yang diketuai oleh Presiden I Kelab Bola Sepak Indera SC, disertai 18 pemain, termasuk lima pemain import, serta tujuh pegawai. Rombongan berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pagi ini.
Kejohanan Batam Premier FC tersebut turut menjadi acara kemuncak kepada Batam Prime International Grassroots Festival 2026 yang berlangsung di Citra Mas Stadium, Batam City.
Kejohanan berkenaan diharap menjadi wadah bagi mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama dalam kalangan kelab bola sepak dari negara-negara jiran, selain memperluas jaringan persahabatan antara kelab bola sepak Negara Brunei Darussalam dengan kelab-kelab serantau.