Berita dan Foto : Ihsan Indera SC
REPUBLIK INDONESIA, Selasa, 25 Ogos. - Indera SC (ISC) berjaya memberikan saingan menarik sepanjang dua perlawanan pada Kejohanan BATAM Prime International Football Series 2026 yang berlangsung di Stadium Gelora Citra Mas, Batam, Kepulauan Riau, Republik Indonesia, baru-baru ini.
ISC memulakan cabaran dengan berkongsi mata selepas seri 1 - 1 menentang Batam Premier FC, namun terkandas untuk mara ke perlawanan akhir selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti. Jaringan tunggal ISC dijaringkan oleh Awang Muhd. Akram Waqeel Muhd. Bakri.
Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, ISC terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan selepas 90 minit permainan apabila mendapat tentangan sengit daripada Geylang United International FC (GIFC).
Namun, tempat ketiga menjadi milik pasukan dari Republik Singapura selepas GIFC memenangi penentuan sepakan penalti 5 - 3.
"Menerusi kejohanan ini, ia menjadi peluang terbaik bagi pihak pengurusan kelab untuk menilai sejauh mana prestasi pasukan sebelum membuka tirai Liga Super Brunei musim 2026-2027," jelas Pengurus Pasukan, Pengiran Abd. Azim bin Pengiran Haji Othman.
Sekalipun memuji prestasi pemain-pemain, beliau mengakui pasukan masih memerlukan beberapa pembaikan, terutama dari segi keberkesanan serangan, di samping meningkatkan keserasian dalam kalangan pemain.
"Kita telah mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian untuk memantapkan lagi pasukan ISC. Namun, saya juga yakin setiap pemain akan terus berusaha meningkatkan reputasi, tahap kecergasan, di samping keberkesanan corak permainan masing-masing," ujarnya.
Kejohanan BATAM Prime International Football Series 2026 dijuarai oleh Batam Premier FC.