Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pengajian Islam
RIMBA, Ahad, 6 September. - Jabatan Pengajian Islam (JPI) menjuarai Kejohanan Bola Jaring sempena Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di Dewan Serbaguna, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), petang tadi.
Universiti Brunei Darussalam (UBD) menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga diraih oleh BSA HB, iaitu pasukan gabungan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah dan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu khas dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan yang berjaya ialah Penolong Ra'es, Hal Ehwal Akademik, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Norasimah binti Haji Omar.
Sebanyak 17 pasukan yang terdiri daripada warga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan institusi-institusi pengajian tinggi menyertai kejohanan berkenaan yang bermula pada 30 Ogos 2026.
Kejohanan anjuran JPI, KHEU itu bertujuan menyemarakkan sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal secara inklusif melalui penyertaan warga KHEU dan institusi-institusi pengajian tinggi, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat, memperkukuh ukhuwah dan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dan nilai-nilai murni Islam melalui aktiviti bersukan.
Penganjuran kejohanan ini merupakan antara aktiviti sukan dan riadah yang diadakan bersempena Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, bertemakan 'Ukhwah Kukuh, Pendidikan Teguh'.