Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Persatuan Lun Bawang Murut Brunei
BERAKAS, Selasa, 8 September. – Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB) baru-baru ini menganjurkan Kejohanan Bola Tampar bersempena Festival Irau Tupeh Padey 2026 yang mengambil tempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Seramai 238 orang peserta mengikuti kejohanan tersebut, yang mempertandingkan sebanyak tiga kategori iaitu Kategori Lelaki Veteran 45 Tahun Ke Atas; Kategori Lelaki Terbuka; dan Kategori Wanita Terbuka.
Johan bagi Kategori Lelaki Veteran 45 Tahun Ke Atas disandang oleh Pasukan Delai Mangan dari Zon 5, sementara naik johan dimenangi oleh Pasukan Batu Sinawat dari Zon 3 dan tempat ketiga diraih oleh Pasukan Suit Buda dari Zon 4.
Dalam Kategori Lelaki Terbuka, johan dirangkul oleh Pasukan Delai Ma’ngud (B) dari Zon 4, sementara naib johan dimenangi oleh Pasukan Arit Pawad dari Zon 1 dan Pasukan Bua Dalit dari Zon 5 membawa pulang hadiah di tempat ketiga.
Manakala johan bagi Kategori Wanita Terbuka dimenangi oleh Pasukan Artur Pugi dari Zon 1, diikuti dengan naib johan oleh Pasukan Mawa dari Zon 4, dan tempat ketiga diperoleh oleh Pasukan Bua Kiran dari Zon 5.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Dipertua PLBMB, Leftenan Kolonel (B) Awang Tamin bin Tuah.
Antara tujuan dan matlamat penganjuran ialah mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan ahli PLBMB serta komuniti Murut terutamanya golongan belia melalui aktiviti sukan bola tampar sesuai dengan slogan persatuan iaitu ‘Selawa, Peita, Seruyud, Seterawe, Seniat’.
Selain itu, ia juga bagi menggalakkan lebih ramai ahli, khususnya golongan belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan bola tampar.
Di samping itu, ia juga bagi memupuk nilai-nilai murni seperti disiplin, hormat-menghormati, kerjasama dan semangat berpasukan serta menyemai persahabatan dan kerjasama dalam kalangan peserta. Ini juga bertujuan untuk memberi peluang dan memupuk semangat ahli persatuan dan komuniti Murut untuk terus menunjukkan bakat masing-masing sekali gus memberi pendedahan dan pengalaman bersama dalam suasana persaingan kejohanan yang sihat.
Pihak PLBMB dalam kesempatan ini turut tidak ketinggalan ingin merakamkan terima kasih atas sokongan dari pada Persatuan Bola Tampar Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kerana sama-sama menjayakan kejohanan tersebut.