Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Hernie Sulaina Haji Othman
TEMBURONG, Ahad, 6 September. - Pertandingan Akhir Pencak Silat bagi Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 diadakan di Dewan Kemasyarakatan Rataie, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup kejohanan, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Johan bagi Kategori Kelas Dini disandang oleh Awang Muhammad Alif Ahyan Al-Firdaus bin Khairol Azwan, manakala johan bagi Kategori Kelas Pra Dini dimenangi oleh Nur Arissa Adinah binti Mohd. Haddi. Sementara bagi johan bagi Kategori Kelas 'B' Wanita Dewasa pula ialah Annisya Suraya binti Razali.
Bagi Kategori Kelas 'G' Lelaki Dewasa, johan disandang oleh Awang Muhammad Al-Amsyar bin Muhammad Al Aiman Syazwi, manakala Awang Mohammad Aniq Darwisyh bin Abdullah Mohd. Najib pula menyandang johan bagi Kategori Kelas 'D' Lelaki Dewasa, sementara Kategori Kelas 'B' Lelaki Dewasa menyaksikan Awang Muhammad Khairul Hafiy bin Mohd. Haddi muncul johan.
Sementara itu Kategori Kelas 'A' Lelaki Dewasa pula menyaksikan Awang Mohammad Azaki bin Abdullah Jakir merangkul johan, manakala Dayang Annisya Suraya binti Razali menyandang johan bagi Kategori Solo Kreatif.
Bagi Kategori Cakak Asli Lelaki, johan disandang oleh Awang Muhammad Akmal Syafiq bin Mohammad Sairual Rizal, manakala johan Kategori Cakak Asli Wanita milik Dayang Annisya Suraya binti Razali, sementara johan Kategori Kuntau Melayu Lelaki pula milik Awang Mohd. Izzat Zikry bin Haji Khairul Halimin.
Pertandingan Pencak Silat Peringkat Daerah Temburong berkenaan diadakan adalah bertujuan untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu dalam seni bela diri pencak silat, khususnya dalam kalangan generasi muda di daerah berkenaan.
Selain itu, pertandingan berkenaan juga diharap dapat meningkatkan minat masyarakat terhadap sukan pencak silat serta memupuk semangat kesukanan, disiplin, keyakinan diri dan kerjasama dalam kalangan para peserta.