Lebih 400 penduduk meriahkan Kampung Ku Cergas

26 Okt 2026 - 7:07am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BELAIT, Ahad, 25 Oktober. - Lebih 400 penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lumut dan sekitarnya hari ini hadir bagi menyertai Acara Riadah Kampung Ku Cergas Edisi RPN Lumut Vol.2 yang berlangsung di Jalan Bilaran, Rancangan Perumahan Negara Lumut.

Acara yang dikelolakan bersama oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Lumut Kawasan 1, 2 dan 3, Mukim Sungai Liang dengan kerjasama Kelab Brunei Shell Recreational (BSRC) tersebut merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh warga kampung susulan acara pertama diadakan yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam usaha ke arah warga yang sihat.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya berkesudian menyempurnakan Majlis Pelepasan Larian dan Berjalan Kaki pada acara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman yang juga merupakan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Acara yang diadakan pagi tadi itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa sebelum diikuti dengan sesi pemanasan badan dan diteruskan dengan pelepasan larian dan berjalan kaki di sekitar kawasan RPN Kampung Lumut berkenaan.

Edisi Kedua ini menampilkan kelainan di mana acara Gerai Malam diadakan sehari sebelum iaitu pada 24 Oktober, dengan menawarkan pelbagai menu istimewa yang disajikan khas.

Adapun matlamat bagi penganjuran acara seumpama itu adalah bagi memberi peluang kepada peniaga-peniaga di RPN Lumut itu sendiri untuk meningkatkan penghasilan mereka serta mengeratkan silaturahim dan semangat berjiran dalam satu kampung.