Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
MUARA, Rabu, 19 Ogos. - Cuti persekolahan bukan sekadar masa untuk berehat daripada rutin pembelajaran, malah boleh dimanfaatkan sebagai peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga menerusi pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan berfaedah.
Menyedari kepentingan berkenaan, Keluarga TJK (Awang Tanjong bin Asek dan Dayang Hajah Jaga binti Haji Mohd. Salleh) memilih Pantai Muara sebagai lokasi untuk mengisi masa lapang pada musim cuti persekolahan dengan mengadakan aktiviti berkelah serta pelbagai kegiatan kekeluargaan.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada anak-anak menikmati suasana pantai dan keindahan alam semula jadi, malah turut menjadi wadah bagi mengeratkan lagi silaturahim serta mewujudkan interaksi yang lebih dekat antara sesama ahli keluarga.
Di samping itu, ia juga mempromosi tempat riadah kerana negara kita juga tidak kurang hebatnya dan berpotensi untuk diketengahkan sebagai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di negara ini.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas ‘B’, Daerah Brunei dan Muara, ketika ditemui menjelaskan bahawa masa terluang, khususnya ketika musim cuti persekolahan wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan melibatkan anak-anak dalam aktiviti bersama keluarga.
Menurut Yang Berhormat lagi, aktiviti di luar rumah seperti berkelah di pantai memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar, menikmati udara segar dan melakukan aktiviti fizikal, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka kepada gajet semata-mata.
“Cuti persekolahan adalah masa yang baik untuk ibu bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dan melakukan aktiviti yang dapat memberikan pengalaman serta kenangan bermakna kepada mereka,” ujar Yang Berhormat.
Pelbagai aktiviti seperti bermain permainan di pantai, menikmati suasana persekitaran dan menyediakan makanan secara bersama turut diadakan.
Aktiviti menyediakan juadah, termasuk barbeku, misalnya, bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat memupuk semangat kerjasama apabila setiap ahli keluarga sama-sama mengambil bahagian dalam persiapan dan pelaksanaannya.
Lebih penting lagi, kegiatan sebegini membuka ruang untuk ahli keluarga berkomunikasi, bergurau dan berkongsi cerita dalam suasana santai, sekali gus memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Justeru, cuti persekolahan sewajarnya dilihat sebagai kesempatan untuk mencipta kenangan bersama keluarga. Daripada sekadar menghabiskan masa dengan gajet, anak-anak boleh didedahkan kepada aktiviti luar yang sihat, menyeronokkan dan mampu membentuk nilai kerjasama serta menghargai keindahan alam sekitar.