Siaran Akhbar dan Foto : Special Olympics Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Oktober. - Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD) telah mengadakan Coach Essentials Workshop selama dua hari pada 24 dan 25 Oktober 2026, bertempat di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, di ibu negara, dengan sokongan jurulatih daripada Special Olympics Asia Pacific (SOAP).
Bengkel berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran jurulatih tempatan serta memberikan mereka pemahaman dan pendekatan praktikal yang diperlukan untuk melatih dan menyokong atlet kurang upaya intelektual melalui sukan.
Sepanjang dua hari bengkel, para peserta telah mengikuti sesi pembelajaran dan aktiviti praktikal yang dirancang untuk memperkukuh pengetahuan kejurulatihan serta menggalakkan perkongsian pengalaman.
Bengkel berkenaan turut merangkumi aspek penting dalam Special Olympics, termasuk pendekatan kejurulatihan yang berpusatkan atlet dan Safe Sport, yang menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran sukan yang selamat, saling menghormati dan menyokong semua atlet.
Penglibatan SOAP memberi peluang kepada para peserta untuk menimba ilmu daripada tenaga pengajar serantau serta memperkukuh pemahaman mereka mengenai amalan kejurulatihan yang inklusif.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan SOBD untuk membangunkan keupayaan kejurulatihan, bengkel berkenaan merupakan satu langkah penting dalam membina rangkaian jurulatih yang lebih mantap dan berupaya menyokong atlet dalam mengembangkan kemahiran sukan, meningkatkan keyakinan diri dan mencapai potensi mereka sepenuhnya.
SOBD kekal komited dalam mempromosi sukan inklusif serta menyediakan peluang kepada individu kurang upaya intelektual untuk menyertai aktiviti sukan, mengembangkan kebolehan diri dan merasai manfaat daripada penglibatan dalam komuniti sukan yang menyokong dan inklusif.
Melalui pembangunan kejurulatihan yang berterusan serta kerjasama dengan rakan serantau, SOBD berharap dapat terus memperkukuh program-programnya dan memperluas peluang sukan bagi atlet kurang upaya intelektual di Negara Brunei Darussalam.