Berita dan Foto : Ihsan CPMix dan KB Oiltown Shuttlers
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - CPMix dan KB Oiltown Shuttlers telah menjayakan perlawanan persahabatan badminton yang berlangsung di Tingkat 7, Centrepoint Gadong, baru-baru ini.
Perlawanan ini diadakan sebagai salah satu inisiatif untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan, serta memartabatkan sukan badminton di kalangan komuniti tempatan.
Selain itu, ia juga menjadi platform terbaik untuk kedua-dua pasukan bertukar pengalaman, mengasah kemahiran serta menguji tahap persediaan masing-masing dalam suasana kompetitif dan harmoni.
Sepanjang perlawanan diadakan, kedua-dua pasukan mempamerkan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
Persaingan sengit di gelanggang berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan, dengan nilai saling menghormati dan kerjasama terus menjadi keutamaan dalam kalangan pemain serta pegawai yang terlibat.
Pihak pengurusan KB Oiltown Shuttlers merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada CPMix atas jemputan, layanan mesra, serta komitmen dalam menjayakan perlawanan ini.
Penghargaan turut ditujukan kepada semua pemain, pegawai, penyokong dan pihak pengurusan Centrepoint Gadong yang memberikan kerjasama penuh.
Diharapkan agar kerjasama dan hubungan baik yang terjalin melalui acara seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang, selaras dengan matlamat untuk memajukan sukan badminton dan mengeratkan lagi hubungan antara kelab-kelab di Negara Brunei Darussalam.