Menggalakkan amalan gaya hidup aktif, sihat melalui Pertandingan Boling

24 Okt 2026 - 6:06am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Oktober. - Dalam usaha memperkukuh ukhuwah dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemimpin serta guru-guru sekolah ugama, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei I menganjurkan Pertandingan Boling di Golden Bowling Brunei, The Airport Mall, petang tadi.

Pertandingan tersebut menyaksikan Sekolah Ugama Tanjong Kindana Sungai Bunga muncul sebagai johan, manakala Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna meraih tempat kedua dan Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, bagi Kategori Individu, Dayang Noraziera binti Haji Ismail dari Sekolah Ugama Mabohai dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perempuan, manakala Awang Muhammad Rizam bin Musa dari Sekolah Ugama Tanjong Kindana Sungai Bunga meraih gelaran Pemain Terbaik Lelaki.

Pertandingan berkenaan melibatkan penyertaan sebanyak 20 pasukan daripada sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei I.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lontaran perasmian sebelum pertandingan dimulakan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Kategori Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga serta Pemain Terbaik Lelaki dan Pemain Terbaik Perempuan, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Penganjuran pertandingan ini merupakan antara inisiatif untuk menggalakkan penglibatan warga pendidik dalam aktiviti sukan dan rekreasi selain memupuk semangat kerjasama serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat.