Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Rabu, 9 September. - Majlis Paralimpik Negara Brunei Darussalam (MPNBD) menghadiri Mesyuarat Lembaga Gabenor (BOG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (ASEAN Para Sports Federation - APSF) yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia dari 7 hingga 11 September 2026.
Mesyuarat berkenaan merupakan platform bagi membincangkan persiapan serta penyelarasan menjelang ASEAN Para Games Kuala Lumpur 2027.
MPNBD diwakili oleh Presiden MPNBD, Awang Ali Yusri Abdul Ghafor, dan Setiausaha Agung MPNBD, Awang Md. Zain bin Haji Mohammad.
Mesyuarat berkenaan turut menumpukan kepada aspek persediaan dan penganjuran temasya, termasuk membincangkan program sukan serta jenis-jenis sukan yang akan dipertandingkan, di samping meneliti perkara-perkara teknikal bagi memastikan kelancaran penganjuran ASEAN Para Games Ke-14 Kuala Lumpur 2027.
Selain menghadiri sesi Mesyuarat BOG APSF, delegasi berkenaan turut mengadakan lawatan ke beberapa ‘venue’ sukan yang dicadangkan bagi temasya tersebut.
Mesyuarat itu juga menjadi landasan penting kepada negara-negara anggota APSF untuk menyelaraskan persiapan, keperluan teknikal dan operasi, serta memastikan temasya berkenaan dapat dilaksanakan mengikut standard yang tinggi demi kepentingan seluruh komuniti sukan para ASEAN.