Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Rabu, 19 Ogos. - Rombongan ketujuh dan terakhir yang mewakili Negara Brunei Darussalam, terdiri daripada pasukan karate seramai empat orang atlet dan dua orang jurulatih, telah bertolak ke Selangor, Malaysia bagi menyertai temasya Sukan Malaysia XXII (SUKMA).
Hadir untuk mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Noorfaizah binti Haji Suboh.
Turut hadir, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, wakil dari Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF) serta keluarga atlet.
Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi dari Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan kepada pasukan karate, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Atlet-atlet karate negara akan mengambil bahagian dalam acara Kumite Individu Lelaki +84 kilogram (kg), Kumite Individu Lelaki -75kg, Kata Individu Lelaki dan Kata Individu Wanita.
Mereka akan mula bertanding pada 21 Ogos 2026 di Ideal Convention Centre, Shah Alam.