Oleh : Srinarawie Bidzah
Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026
SELANGOR, MALAYSIA, Khamis, 20 Ogos. – Dalam acara sepak takraw pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang berlangsung baru-baru ini telah menyaksikan pasukan sepak takraw Negara Brunei Darussalam (NBD) mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menewaskan pasukan Perak dengan keputusan 2-0.
Acara yang diwakili oleh pasukan NBD dalam Kategori Regu Lelaki berkenaan berlangsung di Arena MBSJ Puchong.
Perlawanan yang berlangsung pada jam 2.00 petang berkenaan menyaksikan persaingan sengit pada set pertama. Pasukan NBD bagaimanapun berjaya mengatasi Perak dengan keputusan 17-16.
Memasuki set kedua, pasukan NBD terus memperkemaskan permainan dan menguasai perlawanan untuk mencatat kemenangan lebih selesa dengan keputusan 15-5, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0.