Siaran Akhbar dan Foto : Biro Kawalan Narkotik
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Pemulihan Antarabangsa dengan bertemakan ‘Sinar Menuju Pemulihan, Bersama Komuniti’, Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Divisyen Rawatan dan Pemulihan (DRP) meneruskan Cabaran 2 Million Steps for Recovery dengan mengadakan Program Briskwalk pada 10 Ogos 2026 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Program ini telah menghimpunkan seramai 89 Orang Yang Di Bawah Pengawasan (OYDP), 42 residen Pusat Al-Islah, beberapa ahli keluarga mereka serta pegawai dan kakitangan BKN untuk sama-sama menyertai cabaran yang sedang berlangsung, di samping menunjukkan sokongan terhadap perjalanan pemulihan.
Presiden Aftercare Support Association (AFSA), Dayang Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya juga hadir sama-sama memberikan sokongan dalam program ini.
Cabaran 2 Million Steps for Recovery yang berlangsung dari 1 Julai hingga 30 September 2026 merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan oleh BKN bersempena dengan Sambutan Hari Pemulihan Antarabangsa 2026, dengan matlamat untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.
Selain itu, ia juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sokongan dan penerimaan terhadap bekas pengguna dadah serta memupuk persekitaran yang lebih menyokong bagi individu yang sedang menjalani proses pemulihan dadah.
Cabaran ini dilaksanakan dengan kolaborasi antara BKN bersama EVYD Technology Sdn. Bhd dengan menggunakan ‘features’ dalam aplikasi BruHealth sebagai platform untuk perkiraan langkah (steps).
Setakat hari ini, penyertaan bagi cabaran ini telah mencecah seramai 16,586 peserta. Penyertaan OYDP dan residen bersama ahli keluarga masing-masing mencerminkan peranan penting keluarga dan komuniti dalam menyokong proses pemulihan.
Penglibatan ahli keluarga turut memberikan ruang untuk mereka menunjukkan dorongan, semangat dan sokongan yang berterusan kepada insan tersayang dalam usaha mencapai pemulihan yang berterusan dan berkekalan.
Program Briskwalk ini turut menjadi wadah untuk menyampaikan mesej bahawa proses pemulihan bukanlah satu perjalanan yang perlu dilalui secara bersendirian.
Dengan adanya kefahaman, dorongan serta penglibatan yang bermakna daripada keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya, ia akan memberikan motivasi kepada individu yang sedang menjalani proses pemulihan ke arah perubahan yang lebih positif dan berkekalan.
Melalui inisiatif seperti ini, BKN terus menyeru masyarakat untuk memainkan peranan yang aktif dalam terus menyokong proses pemulihan serta meningkatkan kefahaman mengenai proses pemulihan dadah.
Setiap langkah yang diambil ke arah pemulihan merupakan satu langkah menuju masyarakat yang lebih sihat, saling menyokong dan inklusif.