Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
KIULAP, Ahad, 25 Oktober. - Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam (PWBD) pagi tadi telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2026 (AGM 2026) yang berlangsung di Higher Hotel, Kiulap.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden PWBD, Lim Boon Hwa, yang antara lain mengimbas kembali perjalanan dan perkembangan persekutuan berkenaan sejak penubuhannya pada tahun 2003.
Beliau melahirkan rasa penghargaan kerana telah diberikan kepercayaan untuk berkhidmat sebagai setiausaha agung selama 16 tahun sehingga tahun 2018, sebelum memegang jawatan presiden pada tahun 2019.
Sepanjang tempoh lapan tahun sebagai presiden, yang merangkumi dua penggal masing-masing selama empat tahun, beliau menyaksikan sendiri serta terlibat secara aktif dalam usaha membangun dan mengembangkan wusyu Brunei sejak peringkat awal penubuhannya.
Menurut beliau, sepanjang hampir suku abad perjalanan PWBD, pelbagai kejayaan telah dicapai dalam mengangkat nama wusyu Brunei ke persada antarabangsa, di samping menyaksikan atlet-atlet negara terus mengukir pencapaian cemerlang yang mengharumkan nama negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa pengurusan dan kakitangan, barisan jurulatih, pihak media serta ibu bapa atlet atas dedikasi, usaha dan sokongan berterusan yang menjadi antara faktor penting dalam merealisasikan kejayaan persekutuan tersebut.
Tambah beliau, pelbagai pencapaian membanggakan yang diraih oleh wusyu Brunei mencerminkan usaha bersama semua pihak dalam memajukan sukan berkenaan, sekali gus menandakan bahawa amanah dan tanggungjawab yang dipikul sepanjang tempoh kepimpinannya telah berjaya dilaksanakan.
Mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan pengesahan minit mesyuarat terdahulu bagi memastikan kesinambungan serta ketelusan dalam tadbir urus PWBD.
Agenda seterusnya meliputi pembentangan laporan setiausaha, laporan kewangan serta laporan daripada Cawangan-cawangan Daerah Wusyu yang antara lain menyentuh aktiviti dan penyertaan pasukan wusyu dalam kejohanan, perkembangan sukan berkenaan, pelaksanaan latihan, penganjuran kejohanan serta perancangan persekutuan sepanjang tahun.
Mesyuarat berkenaan juga menjadi platform bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli persekutuan, di samping menyemarakkan semangat berpasukan, perpaduan dan kerjasama dalam menjayakan agenda serta perancangan PWBD bagi tahun mendatang.