Oleh : Srinarawie Bidzah
Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026
SELANGOR, MALAYSIA, Selasa, 25 Ogos. - Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 melabuhkan tirainya secara rasmi malam tadi dalam sebuah Majlis Penutupan yang berlangsung penuh meriah dan bersejarah di Aneka Walk, Seksyen 14 Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Majlis Penutupan Rasmi SUKMA XXII Selangor 2026 dihadiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menjadi simbolik berakhirnya temasya sukan terbesar peringkat negeri dan kebangsaan yang menghimpunkan atlet-atlet terbaik dari seluruh Malaysia serta kontinjen jemputan dalam semangat persaingan sihat, kesukanan dan perpaduan.
Sepanjang berlangsungnya temasya dari 15 hingga 24 Ogos 2026, sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan telah dipertandingkan di pelbagai tempat di seluruh negeri Selangor, dengan penyertaan 15 kontinjen termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai kontinjen jemputan.
SUKMA XXII Selangor 2026 bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet, malah turut menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu serta melahirkan barisan juara yang bakal mewarnai arena sukan negara pada masa akan datang.
Penyertaan NBD dalam 11 acara sukan, iaitu akuatik (renang), badminton, olahraga, catur, golf, lawan pedang, karate, pencak silat, sepak takraw, taekwondo dan wushu turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan serta kerjasama sukan antara kedua-dua buah negara.
Kontinjen NBD mencatatkan pencapaian yang baik pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 berkenaan dengan berjaya meraih 10 pingat secara keseluruhan, iaitu sebanyak empat pingat perak daripada sukan akuatik (renang) dan wushu, manakala enam pingat gangsa daripada sukan pencak silat dan taekwondo.
Majlis penutupan turut menjadi detik penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih, pegawai, pengadil, urus setia, sukarelawan serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan sepanjang penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026.
NBD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta semua pihak yang terlibat atas penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026 yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan persahabatan.